Inflasi Malaysia mungkin susut sedikit pada Ogos kepada 2.9 peratus tahun ke tahun berbanding 3.3 peratus pada Julai, kata Standard Chartered Bank Research hari ini.

"Ini menjadikan inflasi lapan bulan 2015 kepada 1.8 peratus dan pada kami ia merupakan kedudukan yang boleh diurus kesan daripada impak sekali susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada April," katanya.

Malaysia akan mengeluarkan angka inflasi Ogos pada Rabu.

Antara lain, ia menjangkakan kos pengangkutan berkurangan pada Ogos, berikutan pelarasan ke bawah dalam kos bahan api dalam negeri.

Bagaimanapun, harga makanan mungkin kekal tinggi dan terus meningkat lebih daripada tiga peratus tahun ke tahun, walaupun beberapa penyatuan berlaku selepas peningkatan ketara pada Julai disebabkan oleh musim perayaan, katanya dalam laporan penyelidikannya.

Mengenai keseimbangan, katanya tekanan inflasi dilihat boleh dikawal dan tidak menjejaskan pendirian dasar monetari bank pusat, katanya.