Iskandar Malaysia memperoleh RM7.56 bilion pelaburan baharu pada suku kedua 2013 berbanding RM5 bilion pada suku pertama tahun ini, menjadikan pelaburan komited terkumpul sejak 2006 hingga akhir bulan lepas mencecah RM118.93 bilion.

Jumlah itu merupakan peningkatan RM12.62 bilion sejak 31 Dis tahun lepas, dan daripada jumlah pelaburan komited terkumpul itu, RM53.73 bilion atau 45 peratus sudah pun dilaksanakan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah pelaburan yang semakin meningkat itu menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap pembangunan Iskandar Malaysia.

"Pembangunan di Iskandar Malaysia terus berjalan rancak dan berjaya menarik pelabur tempatan dan asing. Malah, pelaburan tempatan juga terus meningkat setiap suku tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Mohamed Khalid yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), berkata sehingga 30 Jun lepas, pelabur tempatan menyumbang RM78 bilion (66 peratus) daripada pelaburan komited terkumpul manakala baki RM40 bilion (34 peratus) disumbangkan oleh pelabur asing.

Untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini, Australia, Singapura, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat merupakan lima negara yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan di wilayah berkenaan.

Iskandar Malaysia mempromosi sembilan sektor ekonomi utama. Tiga sektor pembuatan iaitu elektrik & elektronik, petrokimia & oleo-kimia dan pemprosesan bahan makanan & hasil tani, mencatatkan pelaburan komited terkumpul paling tinggi, sebanyak RM43 bilion.

Enam sektor lain yang diberi galakan ialah logistik (RM4.8 bilion), pelancongan (RM2 bilion), penjagaan kesihatan (RM1.5 bilion), pendidikan (RM1.5 bilion), perkhidmatan kewangan (RM0.6 bilion) dan industri kreatif (RM0.4 bilion).

Sektor lain yang turut menyumbang kepada pertumbuhan wilayah berkenaan ialah pembangunan hartanah, dengan segmen kediaman, runcit dan industri, secara kolektif menyumbang pelaburan terkumpul RM45 bilion pada 30 Jun lepas, diikuti utiliti (RM9.5 bilion), pelaburan kerajaan, terutama dalam infrastruktur dan kerja awam (RM8.3 bilion) dan teknologi baharu (RM1.03 bilion).

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata projek-projek baharu seperti Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Medini, Nusajaya dan Traders Hotel di Puteri Harbour yang dijadual siap tidak lama lagi, akan membantu mengharumkan nama wilayah berkenaan sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan antarabangsa.

"Kami turut menjangka pembukaan taman tema air LEGOLAND Malaysia tahun ini akan menarik lebih banyak pelancong ke Iskandar Malaysia. Saya difahamkan pembinaan taman tema air tersebut sudah 70 peratus siap mengikut jadual.

"Ia akan mempunyai lebih 20 gelongsor air dan permainan lain, dan dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada bulan Oktober nanti," katanya.

Ismail berkata IRDA dan Majlis Bandaraya Johor Bahru turut bekerjasama melaksanakan projek pemulihan Sungai Segget sebagai sungai mesra alam, projek pertama seumpamanya di Malaysia.

Projek ini merupakan sebahagian daripada Program Transformasi JB yang telah dirasmikan pelancarannya oleh Menteri Besar 6 Julai lepas.

"Projek pemulihan Sungai Segget bertujuan meningkatkan kualiti air sungai dan mengurangkan saliran kandungan bahan-bahan pencemar ke Selat Tebrau. Projek ini dijangka siap pada Disember 2015 dan akan menjadi pemangkin kepada keseluruhan Program Transformasi JB.

"Sasaran kami apabila projek pemulihan ini disempurnakan kelak, kualiti air Sungai Segget dan Selat Tebrau akan meningkat daripada Kelas III dan IV kepada Kelas ll. Ini seterusnya akan menghasilkan penurunan kandungan bahan-bahan percemar di Selat Tebrau sebanyak 90 peratus.

"Hasil jangka panjang ialah persekitaran bersih dan sihat yang mampu menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke Bandaraya Johor Bahru. Kami mengunjurkan bilangan pengunjung ke pusat bandar raya akan meningkat 80 peratus," katanya.

Beliau berkata program Transformasi JB bertujuan menjadikan bandar raya Johor Bahru sebagai kota antarabangsa yang pesat, yang turut memberi manfaat sosioekonomi kepada penduduk tempatan.