PERSAINGAN terbaharu dalam dunia perdagangan dalam talian bakal hadir apabila Jet.com dilancarkan tidak lama lagi.

Syarikat e-perdagangan itu kini mendapat perhatian umum kerana dikatakan memberi pilihan kepada konsumer yang sekian lama berurus niaga dengan Amazon.

Jet setakat ini telah mendapat suntikan dana sebesar AS$220 juta (RM784 juta) untuk perkhidmatan e-perdagangan selain memiliki 1,600 rakan niaga serta menyasarkan jualan sebanyak 10 juta unit produk sejurus dilancarkan nanti.

Jurucakap Jet memberitahu, sebagai permulaan, Jet mengenakan caj AS$49 (RM174) setahun untuk keahlian yang membolehkan konsumer mendapatkan harga terendah bagi apa sahaja yang dibeli dalam talian.

Setakat ini Jet.com sedang melalui fasa ujian beta. Beberapa laporan media mengulas bahawa harga yang diditawarkan, dari barangan elektronik hingga ke produk keperluan kediaman, adalah rendah daripada Amazon.

“Dengan hanya lapan peratus jualan peruncitan berlangsung dalam talian sekarang ini, kami percaya bahawa pasaran e-perdagangan mempunyai banyak ruang untuk syarikat-syarikat, inovasi dan pertumbuhan baharu.

“Jet tidak bercadang untuk bersaing dengan pemain-pemain e-perdagangan lain ataupun ditenggelamkan mereka. Pasaran e-perdagangan cukup besar untuk pelbagai syarikat muncul dan maju bersama,” kata jurucakap Jet.

Menurut jurucakap berkenaan, Jet akan memperkenalkan harga dinamik yang akan berubah bergantung kepada bilangan barangan yang dibeli. Perkara itu diuruskan pasukan jurutera yang secara terus-menerus menentukan penjual yang boleh menghantar keseluruhan pesanan dengan paling cekap dan murah.

Jet diketuai oleh Marc Lore iaitu pengasas perniagaan dalam talian Quidsi yang telahpun dibeli Amazon pada tahun 2011 dengan nilai AS$545 juta (RM1.94 bilion).