KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9 peratus pada September 2023 daripada 2.0 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Mata indeks bagi September 2023 mencatat 130.8 berbanding 128.3 pada tempoh sama 2022.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata keadaan itu didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel iaitu 4.4 peratus manakala makanan dan minuman bukan alkohol pada 3.9 peratus.

Ini turut disumbangkan oleh kenaikan sederhana bagi kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus), kesihatan (2.2 peratus), pendidikan (2.0 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.6 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.5 peratus).

"Minuman alkohol dan tembakau serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing meningkat sebanyak 0.7 peratus dan 0.6 peratus," katanya dalam kenyataan media Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah mencatat peningkatan sederhana 3.9 peratus daripada 4.1 peratus pada Ogos 2023.

Beliau berkata, makanan di rumah merekodkan peningkatan 2.5 peratus berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain (4.1 peratus) manakala komponen makanan di luar rumah kekal pada 5.9 peratus yang menyamai kadar pada Ogos 2023.

Selain itu, inflasi keseluruhan secara bulanan pada September 2023 meningkat 0.1 peratus, disumbangkan oleh minuman alkohol dan tembakau serta pelbagai barangan dan perkhidmatan yang masing-masing naik 0.4 peratus dan 0.2 peratus.

Jelas Mohd Uzir, inflasi bagi suku tahun ketiga 2023 meningkat 2.0 peratus kepada 130.7 berbanding 128.1 pada suku tahun sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi meningkat 0.4 peratus, kadar sama direkodkan pada suku tahun kedua 2023.

"Inflasi teras kekal pada 2.5 peratus kadar yang sama yang direkodkan pada Ogos 2023, namun ianya masih melepasi kadar inflasi negara (1.9 peratus).

"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kenaikan 5.1 peratus. ini diikuti oleh kumpulan restoran dan hotel (4.4 peratus) dan pengangkutan (2.9 peratus)," katanya.

Dari segi perbandingan dengan negara-negara lain, inflasi 1.9 peratus pada September di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Filipina (6.1 peratus), Zon Eropah (4.3 peratus), Korea Selatan (3.7 peratus), Vietnam (3.7 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Indonesia (2.3 peratus).

-- BERNAMA