KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran kadar inflasi bagi 2023 kepada 2.6% berikutan jangkaan kesan asas mengekalkan kadar inflasi bulanan kekal pada 3% tahun ke tahun (YoY) hingga akhir tahun.

“Dengan kadar inflasi utama dalam sembilan bulan pertama 2023 (9M2023) pada 2.8% YoY, kami menyemak turun unjuran kadar inflasi 2023 kami kepada 2.6% daripada 3%.

“Ini kerana kesan asas dijangka mengekalkan kadar inflasi bulanan pada 3% YoY untuk sepanjang tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menaikkan unjuran inflasi 2024 kepada 3% daripada 2.5% buat masa ini, sementara menunggu lebih banyak maklumat dan butiran mengenai Belanjawan 2024, yang telah dibentangkan pada 13 Oktober 2023.

Antara maklumat dan butiran yang ditunggu adalah penghapusan kawalan harga dan subsidi untuk ayam, telur dan bahan api; kenaikan cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% serta asas cukai perkhidmatan yang diperluaskan; kenaikan duti eksais bagi minuman manis daripada 40 sen seliter kepada 50 sen seliter; pengenaan duti eksais ke atas produk tembakau kunyah pada kadar 5% + RM27 setiap kilogram, dan pengurangan duti hiburan (di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) masing-masing daripada 25% kepada 10%, 5% dan 0% mengikut kategori.

“Berikutan kenaikan cukai perkhidmatan sebelum ini daripada 5% kepada 6% pada 1 Januari 2011, kedua-dua inflasi utama dan perkhidmatan masing-masing meningkat daripada 1.7% dan 1.7% pada 2010 kepada 3.2% dan 2.7% pada 2011.

“Untuk makluman juga, pada Disember 2010, harga RON95 dan diesel dinaikkan sebanyak 5 sen seliter, harga gas petroleum cecair (LPG) dinaikkan 5 sen sekilogram dan harga gula dinaikkan sebanyak 20 sekilogram,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa inflasi Malaysia berkurang kepada 1.9% pada September 2023, manakala inflasi teras stabil pada 2.5%.

Kadar inflasi pada September 2023 disokong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel (4.4% berbanding 4.7% pada Ogos 2023), perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (1.5% berbanding 1.7% pada Ogos 2023) serta makanan dan minuman bukan alkohol (3.9% berbanding 4.1% pada Ogos 2023) kerana inflasi bukan makanan perlahan kepada 0.9% YoY.   - DagangNews.com