Kajian kebolehlaksanaan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bagi fasa 1B dimuktamadkan menjelang Jun ini dengan mengambil kira analisis faedah ekonomi, pelan pelaksanaan strategic dan komponen teknikal atau kejuruteraan yang diperlukan bagi projek itu.

HSR, yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu, adalah satu dari Sembilan projek permulaan (EPP) di bawah bidang ekonomi utama iaitu Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, demikian menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri di sini.

“Kajian kebolehlaksanaan untuk sambungan rel akan disiapkan pada separuh pertama tahun ini dan akan dimuktamadkan oleh ahli Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum dibentangkan kepada Majlis Ekonomi Malaysia,” kata pemandu dalam laporan tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012 yang dikeluarkan Selasa.

Agensi pusat pelaksana itu berkata keputusan muktamad tentang sambungan rel itu dijangkakan pada akhir tahun ini selepas mengambil kira hasil daripada kajian itu, yang disertakan dengan butiran rundingan dan perbincangan dengan kerajaan Singapura.

Pemandu menyatakan bahawa antara isu yang akan diteliti dalam kajian tersebut termasuk penjajaran akhir dan lokasi stesen di sepanjang laluan, impak makro-ekonomi projek terhadap dua negara itu dan potensi impak alam sekitar dan sosial.

Selain itu, Pemandu berkata projek sistem transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) bakal menjadi pemangkin yang kuat bagi aktiviti ekonomi, mencipta pekerjaan dari pembinaan dan operasinya.

"Pada masa yang sama, kesalinghubungan dan akses yang lebih besar yang disediakan oleh MRT dijangka meningkatkan nilai hartanah dengan jangkaan RM300 juta dalam nilai pembangunan kasar," katanya.

Empat kawasan yang dijangka menerima manfaat adalah Institut Pembangunan Penyelidikan Getah, Sungai Buloh; Warisan Merdeka; Tun Razak Exchange; dan Pembangunan Cochrane.

Agensi pusat pelaksana itu berkata pembinaan MRT kekal berada pada landasan yang betul dengan fasa satu dijangka siap menjelang Disember 2016.

Dalam usaha mengukuhkan identiti unik dan warisan Kuala Lumpur, Pemandu berkata satu taman pelancongan dan kebudayaan bersepadu, Malaysia Truly Asia Centre, bakal dibangunkan di atas tanah seluas 26.264 hektar, bersempadan dengan Tugu Peringatan, Padang Merbok, kompleks kediaman Lanai Kijang Bank Negara dan Istana Selangor.

Taman itu, yang bakal menampilkan gambaran menarik khazanah alam semula jadi yang boleh didapati di seluruh Malaysia, akan dilancarkan dalam suku ke-empat 2013 dan akan diuruskan sepenuhnya oleh Themed Attraction Resorts, anak syarikat Khazanah Nasional.

Selain itu, kerajaan turut mewujudkan dan meningkatkan Jejak Warisan, satu inisiatif membangunkan laluan pejalan kaki yang melalui laman mercu tanda seperti Dataran Merdeka, Medan Pasar dan Pasar Seni.

Laluan itu akan dilengkapi dengan kemudahan maklumat tambahan seperti peta laluan, penerangan bertulis dan petunjuk pelancong bagi membantu pelancong untuk mengenal pasti dan memahami kepentingan mercu-mercu tanda ini.

Sehingga kini, menurut Pemandu, tiga laluan telah dikenal pasti iaitu Jejak Warisan 1 (Masjid Negara-Dataran Merdeka), Jejak Warisan 2 (Masjid Jamek-Pusat Perhutanan Bukit Nanas) dan Jejak Warisan 3 (Medan Pasar-Hang Kasturi-Jalan Petaling-Lebuh Pudu-Bangkok Bank).