KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dianggar menelan belanja RM100 bilion adalah sangat mencabar untuk dilaksanakan tanpa penglibatan kerajaan. 

Ketua Penyelidik Ekuiti Maybank Investment Bank (Maybank IB), Wong Chew Hann bertanya, RM100 bilion yang dianggarkan itu juga - adakah telah meliputi segala-galanya seperti faedah semasa pembinaan atau hanya kos pembinaan semata-mata?

"Anda membahagikan (kos) dengan 30 tahun dan berdasarkan anggaran matematik, ia melebihi RM3 bilion setahun dari segi susut nilai. 

"Bagi sektor swasta, anda terlibat dalam perniagaan disebabkan anda mahu membuat untung. Ini bermakna anda perlu mendapatkan kembali pulangan RM100 bilion yang mencecah lebih RM3 bilion setahun dari segi hasil yang perlu diperolehi semula,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media pada Maybank IB’s 2024 Market Outlook pada Jumaat lalu. 

Ditanya komen beliau mengenai kebolehlaksanaan projek HSR setelah firma Jepun dilaporkan menarik diri daripada membida projek tersebut, Chew Hann berkata: "Mampukah projek ini memberi pulangan dari segi jumlah penumpang? Bolehkah mendapat pulangan RM3 bilion setahun? Saya tidak fikir ia mampu," katanya. 

Agensi berita Jepun, Kyodo News East baru-baru ini melaporkan Japan Railway Co, telah memutuskan untuk tidak terlibat dalam projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura kerana projek itu terlalu berisiko tanpa bantuan kewangan kerajaan Malaysia. 

Sementara itu, menurut Chew Hann, kebanyakan projek infrastruktur utama seperti HSR di China dan Jepun dibiayai kerajaan sama ada sepenuhnya atau sebahagian. 

“(Kerajaan) perlu terlibat. Bagaimanapun, saya memahami pandangan kerajaan (yang mahukan projek ini dibiayai sepenuhnya sektor swasta) disebabkan RM100 bilion boleh memberi tekanan kepada kewangan negara," jelasnya.  

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneliti kesan penarikan diri firma Jepun daripada projek HSR Kuala Lumpur-Singapura. MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) sebelum ini melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura.

Malaysia dan Singapura pada 2013 bersetuju untuk membina projek sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit. 

Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020. 

Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan pembayaran kira-kira RM320 juta kepada Singapura sebagai kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan perlanjutan penangguhannya.- Dagang News