KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi sedang mengabungkan semua insentif berkaitan digital dan teknologi ke dalam satu pendekatan tetingkap tunggal untuk pemilik serta syarikat pemula niaga perniagaan teknologi dan digital termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menterinya, Rafizi Ramli berkata kementerian akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam tempoh terdekat untuk merangka dasar tunggal yang tepat memandangkan kebanyakan agensi berkaitan inisiatif itu berada di bawah tiga kementerian ini.

"Terdapat banyak agensi dalam ekosistem ini dan masing-masing berada di pelbagai peringkat proses seperti peringkat pendanaan, inkubasi dan ada yang berada di peringkat pembangunan kapasiti. Agensi-agensi ini berada di bawah kementerian berbeza.

"Jadi, jika anda ialah pemilik syarikat pemula niaga teknologi dan mahu bermula namun mungkin tidak tahu yang lazimnya kerana semua nampak bagus. Anda mungkin tidak menyedari bantuan yang tersedia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Kebangsaan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya bersama KKD dan MOSTI akan menghimpunkan semua agensi berkaitan untuk membincangkan serta merancang keseluruhan proses termasuk menentukan tanggungjawab masing-masing dalam usaha menggabungkan semua insentif itu.

"Kita mahu bergerak ke arah pendekatan dasar tunggal, yang bermakna pemilik digital persekitaran, pemilik syarikat pemula niaga teknologi persekitaran sebenarnya hanya perlu menuju ke satu tempat atau satu aplikasi.

"Bagaimana kerajaan menyelesaikannya dengan agensi masing-masing? Itu akan kita urus namun kita perlu berusaha ke arah satu dasar tetingkap tunggal, dan saya berharap dapat bekerjasama dengan KKD, MOSTI dan semua agensi untuk kita mengumumkan penambahbaikan ini," katanya.

Rafizi berharap dasar itu dapat diumumkan pada Ogos tahun ini.

"Itulah garis masanya kerana pihak saya bertanggungjawab ke atas MyDigital (Corporation), dan MyDigital ditugaskan membangunkan keseluruhan perancangan dan ekosistem digital berdasarkan pelan tindakan grid nasional. Jadi (perbincangan) itu berterusan. Kita telah berbincang dengan beberapa agensi dan itu masih berterusan, dan langkah seterusnya ialah bersetuju secara bersama mengenai langkah ke hadapan untuk kita bentang kepada kerajaan," katanya.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucaptama, Rafizi berkata semakin banyak bukti di seluruh dunia yang menunjukkan teknologi digital menyumbang kepada pertumbuhan, produktiviti, pekerjaan dan pengurangan kemiskinan.

Ini penting terutama untuk negara seperti Malaysia yang mengalami pertumbuhan produktiviti ketinggalan berbanding negara setara walaupun sebelum pandemik melanda, katanya.

Pentadbiran (kerajaan) ini akan terus mewujudkan ekosistem berkeupayaan digital dengan menyediakan infrastruktur, platform dan kerangka bagi melindungi pengguna serta meningkatkan perniagaan digital," katanya.

Rafizi berkata penekanan Kementerian Ekonomi terhadap data terbuka dan berpusat juga ada asasnya bagi memastikan data lebih tersedia secara meluas dan mudah diakses.

Malah, katanya, kerajaan yang berteraskan data terbuka juga lebih cenderung untuk membuat keputusan yang baik dengan sokongan data; masyarakat yang diasaskan daripada data berpusat dan telus juga berkemungkinan membangunkan produk yang lebih banyak digunakan.

Beliau berkata ekonomi hijau juga wajar diasaskan daripada satu falsafah baharu bahawa pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar bukan lagi matlamat yang bercanggah sebaliknya saling melengkapi.

"Ke mana wang itu dilaburkan juga menjadi petunjuk kepada hasilnya. Pada tahun lepas, sejumlah US$1.1 trilion telah dilaburkan di peringkat global dalam peralihan tenaga dengan aspek penyimpanan, mobiliti, makanan dan pertanian serta bahan boleh diperbaharui menjadi bahagian terbesar.

"Sebahagian besar daripada pelaburan menarik ini merupakan gabungan pembiayaan awam dan swasta. Ini sekali lagi menunjukkan kepentingan peranan kerajaan dalam haluan aliran wang yang sememangnya penting bagi penciptaan pasaran," katanya.

Rafizi juga menyifatkan usaha menarik balik larangan eksport bagi tenaga boleh diperbaharui pada minggu lepas dan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga pada Jun 2023, sebagai asas permulaan bagi menjadikan Malaysia sebagai penggiat serius dalam ruang tenaga boleh diperbaharui.

"Langkah meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 70 peratus menjelang 2050 serta memperkenalkan sistem pertukaran elektrik rentas sempadan, akan membolehkan kita menarik pelaburan global yang berkualiti tinggi terutama daripada syarikat multinasional RE100 ke dalam Malaysia, selain mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata, bagi memanfaatkan sempadan baharu ini, elemen utama adalah memastikan negara mempunyai bakat dengan kemahiran tepat di Malaysia.

"Kekurangan tenaga kerja dan ketidakpadanan kemahiran adalah naratif dominan industri sejak tempoh pemulihan pasca pandemik. Keadaan ini akan tetap berlaku selagi kita tidak melakukan usaha melatih semula serta meningkatkan kemahiran pekerja secara besar-besaran.

"Sehubungan itu, langkah mengenal pasti kaedah bagi mewujudkan ekosistem ekosistem latihan kemahiran tinggi yang berterusan akan menjadi fokus utama pentadbiran ini. Ia juga merupakan bidang yang memerlukan penyelarasan rentas kementerian serta agensi bagi menjamin kejayaannya," katanya.

-- BERNAMA