TINDAKAN kerajaan lanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akan tingkat kadar perniagaan gulung tikar dan pengangguran.

Menurut kenyataan dikeluarkan gabungan hampir 40 persatuan pedagang, perniagaan dan profesional, Industries Unite, beribu-ribu perniagaan telah gulung tikar sejak PKP 2.0 dilaksanakan.

Tegasnya, lanjutan PKP setiap dua minggu menyukarkan perniagaan membuat perancangan dan keputusan penting berkaitan penggajian pekerja, aliran tunai dan hutang.

Ini menurutnya, mengakibatkan kekurangan keyakinan yang serius dalam komuniti perniagaan.

Industries Unite turut meminta kerajaan menamatkan PKP yang dilaksanakan kerana terdapat risiko orang ramai akan menderita susulan jatuh ke dalam kancah kemiskinan.

Tambahnya, dalam satu kenyataan, kebanyakan ahlinya mungkin tidak mampu pulih.

Tegasnya, sebarang kemungkinan pemulihan perniagaan berdepan cabaran akibat kurangnya panduan untuk bergerak ke hadapan.

Menurut Industries Unite, ahlinya memerlukan bantuan daripada kerajaan termasuk dalam bentuk moratorium dan subsidi gaji.

Bagaimanapun, menurut mereka, ia masih tidak diumumkan ketika PKP 2.0.

Menurut mereka lagi, kerajaan perlu melihat kepada pelan pemulihan yang lebih berstruktur dan penekanan kepada pematuhan SOP menerusi pendidikan dan komuniti.

Industries Unite turut menggesa kerajaan bekerjasama dengan gabungan itu untuk merangka pelan pemulihan enam, 12 dan tiga tahun untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

Industries Unite disertai termasuk Bumiputera Retailers Organisation, Malaysia Retail Chain Association dan Wedding Professionals Association.

Ahli lain termasuk Outsourcing Malaysia, Yayasan Usahawan Malaysia dan SME Assocation of Malaysia.