BISNES
Lawatan Abang Johari ke Siemens Energy buka peluang kerjasama tenaga hijau

Abang Johari (kanan) bersama dengan Juha Pankakoski dalam satu pertemuan di ibu pejabat Siemens Energy di Berlin, Jerman, pada Isnin. - Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak
KUCHING: Lawatan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke ibu pejabat Siemens Energy di Berlin, Jerman pada Isnin membuka peluang kerjasama baharu dalam teknologi pengeluaran hidrogen.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau berkata, lawatan itu memberi ruang kepada Sarawak menimba pengalaman dan memanfaatkan teknologi canggih syarikat tenaga global berkenaan, khususnya bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran hidrogen di negeri ini.
"Teknologi elektroliser Siemens mampu menghasilkan hingga 350 kilogram (kg) hidrogen sejam, berbanding kapasiti semasa Sarawak, iaitu sekitar 130 kg sehari," kata beliau.
Beliau berkata, teknologi itu dilihat sebagai peluang besar untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran hidrogen pada masa hadapan dan perbincangan telah dibuat antara Siemens Energy, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi mengkaji bentuk kerjasama yang sesuai.Mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili.
Selain teknologi elektroliser, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak turut berminat meneroka kerjasama dalam pembangunan turbin gas serta Pusat Inovasi Siemens yang menawarkan kemudahan simulasi untuk penyelidikan dan pembangunan.
"Teknologi turbin gas Siemens boleh diaplikasikan di Samalaju (di Bintulu) termasuk penaiktarafan turbin dari semasa ke semasa, manakala kemudahan simulasi di Pusat Inovasi Siemens pula berpotensi dimanfaatkan oleh pengguna di Sarawak," kata beliau.
Beliau berkata, lawatan kerja itu amat bermakna kerana membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang tenaga hijau sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju industri hidrogen di Asia.
Terdahulu, beliau dan rombongan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Kanan Kumpulan Siemens Energy merangkap Pengarah Urusan Asia Pasifik, Thorbjorn Fors, serta Naib Presiden Eksekutif bagi Global Functions Siemens Energy, Juha Pankakoski.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami