Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.45 sen seunit bagi Dana Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2015.

ASN2 adalah dana pertumbuhan ekuiti pada harga yang berbeza, bertujuan untuk menjana hasil dividen yang berpatutan serta susut nilai pada risiko yang berpatutan melalui portfolio yang pelbagai.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abd Hamid berkata kadar pengagihan yang diumumkan adalah bersamaan 6.9 sen seunit yang diumumkan pada tahun lepas.

"Ia mengambil kira pecahan unit yang dilaksanakan satu unit kepada satu unit pada 18 Julai 2014," katanya.

Bagi 3.45 sen seunit berdasarkan nilai setaraf 50 sen, ia adalah bersamaan 6.90 sen seunit yang berdasarkan nilai setaraf RM1.00.

Berucap pada sidang media, Ahmad Sarji berkata pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran RM44.15 juta, peningkatan 135.2 peratus daripada pembayaran RM18.77 juta tahun lepas.

Ia akan memberi manfaat kepada 19,557 pemegang unit yang secara kolektif menyumbang 1.28 bilion unit ASN2, kata beliau lagi.

Setakat 26 Jun, ASN2 mencatatkan pendapatan kasar RM30.5 juta, disumbang pendapatan dividen dari pelaburan di syarikat-syarikat dan mendapat keuntungan dari penjualan saham yang menyumbang RM10.36 juta atau 34 peratus.

Baki RM4.22 juta atau 13.8 peratus daripada jumlah itu diperoleh daripada instrumen lain, katanya.

Ahmad Sarji berkata prestasi keseluruhan tahun lepas mencabar berikutan dana tersebut dipengaruhi oleh prestasi pasaran saham tempatan dan global.

Indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 9.1 peratus daripada 1,882.71 mata dicatatkan pada 30 Jun, 2014 kepada 1,710.47 mata pada 26 Jun tahun ini, katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata walaupun tahun yang mencabar, melihat kepada saiz pendapatan, ASN2 mempunyai kapasiti edaran sebanyak lapan sen seunit atau 16 sen sebelum pecahan.

"Kami menyimpan lebih banyak pada tahun ini bagi membolehkan pengurus dana merebut peluang mencari saham dengan nilai-nilai yang baik bagi tujuan penyusunan semula portfolio untuk strategi pelaburan jangka panjang," katanya.

Semua transaksi ASN2 ditangguhkan mulai 24 Jun hingga 30 Jun, 2015 untuk memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan dan pemegang unit akan dapat mengemaskini akaun mereka mulai 1 Julai.

Bagi pemegang unit yang melanggan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dividen akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP masing-masing.