Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mempelawa peserta industri minyak sawit Tianjin untuk menjalin kerjasama dengan syarikat Malaysia dalam program biodiesel di samping minyak sawit.

Menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata biodiesel menawarkan peluang yang luas memandangkan dasar tenaga hijau China menyasarkan 15 peratus penggunaan bahan api bukan fosil menjelang 2020 dan pasarannya besar.

"Kami telah menjemput mereka (kerajaan perbandaran Tianjin) datang ke Malaysia untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

"Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan. Kami berharap akan dapat bekerjasama dalam ini, supaya Malaysia boleh mengeksport lebih banyak biodiesel ke China," katanya.

Mah berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit China di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Zurinah Pawanteh, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Lee Yeow Chor dan Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiron.

Tianjin adalah pintu masuk minyak sawit ketiga terbesar ke China, selepas Wilayah Jiangsu dan Wilayah Guangdong.

Beliau berkata Malaysia berharap dapat mengadakan usaha sama dengan Tianjin bagi pelaksanaan program biodiesel.

"Malaysia, yang mempunyai 18 kilang biodiesel, telah melaksanakan biodiesel B7 dan dalam usaha memulakan penggunaan B10 akhir tahun ini.

"Pelaksanaan program B10 dan B7 dijangka membawa kepada penggunaan tahunan sebanyak 709,000 tan metrik biodiesel," katanya.

Mah berkata beliau yakin kerjasama berkenaan akan memberi faedah kepada kedua-dua negara kerana akan membawa kepada penjimatan sebanyak 820 juta liter minyak dan pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 2.16 juta tan metrik.

"Kita boleh mengeksport lebih banyak B7 ke bandar seperti Tianjin dan Beijing, kerana kedua-duanya telah tercemar," katanya.

China juga komited untuk mempunyai program biodiesel pada tahun 2020, oleh itu kementerian meninjau cara untuk mengeksport biodiesel ke China, katanya.

Seminar dan Pameran perdagangan itu dianjurkan bersama oleh MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Shanghai Pansun untuk peserta industri untuk bertemu dan meneroka kerjasama kepada penggunaan minyak sawit Malaysia bagi tujuan makanan dan bukan makanan.

Produk minyak sawit ke China meningkat sebanyak 69.6 peratus kepada 3.35 juta tan metrik pada 2015 daripada 1.02 juta tan metrik pada tahun 2000.

Antara produk minyak sawit dieksport olein sawit diluntur ditapis, minyak isirong sawit dan oleokimia.

Pada masa ini, eksport minyak sawit dari Malaysia menyumbang 12.4 peratus daripada eksport global.