KUALA LUMPUR :Semua penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan dibenarkan untuk terus menjalankan perniagaan masing-masing dalam tempoh perintah darurat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, permohonan lesen untuk aktiviti itu juga akan diberi secara percuma.

“Cuma saya minta patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa.

“Kita perlu bantu-membantu dan bersama perangi COVID-19,” katanya dalam ciapan di akaun Twitternya di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri setiap hari susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP2.0).

“Semua ketua jabatan terkait diminta hadir (secara atas talian) dan insya-Allah kita ambil langkah lebih proaktif dalam mengawal wabak di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta kerjasama warga Wilayah Persekutuan untuk terus tinggal di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan.

“Usah keluar rumah kecuali atas perkara sangat perlu terutamanya kanak-kanak, warga emas. Trend penularan sangat membimbangkan dan dengan kawalan pergerakan, wabak ini dapat dibendung,” ujarnya.