KUALA LUMPUR: Sektor penerbangan Malaysia kekal kukuh pada trajektori pemulihan, dengan sejumlah 72 syarikat penerbangan beroperasi secara aktif dalam rangkaian lapangan terbang tempatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelang hujung 2023, melonjak 9.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ini juga telah menghasilkan sambungan mantap ke sejumlah 147 destinasi, merangkumi 113 antarabangsa dan 34 domestik, kata MAHB.

"Peluasan itu, ditandai dengan pertambahan 21.4 peratus daripada 121 destinasi yang terdiri daripada 86 lokasi antarabangsa serta 35 domestik pada 2022, boleh dikaitkan dengan pelancaran enam syarikat penerbangan baharu, penyambungan semula tujuh syarikat penerbangan lain dan pengenalan laluan baharu oleh syarikat penerbangan sedia ada.

"Permintaan trafik yang menggalakkan terus terbukti apabila kumpulan itu merekodkan empat juta penumpang antarabangsa di Malaysia pada Disember 2023, tertinggi sejak Februari 2020.

"Ini didorong oleh pembukaan semula sempadan China, peningkatan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan serta penghantaran pesawat baharu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 2023, kumpulan itu juga telah meraih pencapaian penting dengan melepasi 100 juta jumlah pergerakan penumpang buat kali pertama sejak 2020, mencatatkan kejayaan apabila ia mencecah 120 juta penumpang.

Pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan kadar pemulihan yang besar sebanyak 84.6 peratus berbanding tahap 2019 tetapi juga menekankan daya tahan dan kebolehsesuaian kumpulan dalam menghadapi cabaran global, katanya.

Lapangan terbang tempatan memainkan peranan penting dalam merekodkan satu lagi peristiwa signifikan, yang mana walaupun tambang penerbangan melonjak selain inflasi serta perubahan cuaca yang agak teruk, lapangan terbang tempatan menyumbang dengan ketara, mencatatkan 81.9 juta jumlah pergerakan penumpang, pemulihan 77.8 peratus pada tahap 2019.

"Menjelang Disember 2023, lapangan terbang di Malaysia mengalami kenaikan dalam trafik penumpang dengan jumlah 7.7 juta direkodkan iaitu empat juta antarabangsa dan 3.7 juta domestik, sejajar dengan cuti panjang akhir tahun.

"Sektor antarabangsa menyaksikan pertambahan 18 peratus daripada 3.4 juta penumpang pada November 2023. Pada masa yang sama, sektor domestik menyaksikan peningkatan 16 peratus daripada 3.2 juta penumpang," kongsi kumpulan itu.

Sementara itu, MAHB berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) mengendalikan 3.1 juta jumlah pergerakan penumpang pada Disember 2023.

Pergerakan ini, katanya, merangkumi 1.7 juta penumpang antarabangsa dan 1.4 juta penumpang domestik, dengan prestasi SAW menyumbang 29 peratus kepada angka trafik sebanyak 10.9 juta penumpang yang direkodkan oleh kumpulan itu pada bulan tersebut.

Pada 2023 juga menandakan peristiwa penting bagi SAW kerana bukan sahaja lapangan terbang itu melepasi paras 2019, malah jumlah pergerakan penumpang mencapai rekod tertinggi sebanyak 37.6 juta iaitu naik sebanyak 4.5 peratus daripada 2019 .

Pertumbuhan ini boleh dikaitkan dengan pengembangan pesat syarikat penerbangan termasuk operasi baharu dalam sektor antarabangsa, katanya sambil menambah bahagian trafik antarabangsa mencecah lebih 50 peratus daripada jumlah penumpang lapangan terbang itu buat kali pertama.

"Pegasus memulakan perkhidmatan kepada empat laluan baharu iaitu Alexandria, Mesir, Kutaisi, Georgia, Dortmund, Jerman dan Birmingham, United Kingdom.

"Ajet, yang sebelum ini dikenali sebagai Anodolujet telah melancarkan perkhidmatan baharu ke Belgrade, Serbia, manakala British Airways telah menambah perkhidmatan dalam penerbangan harian ke Heathrow. Selain itu, Flynas pula memperkenalkan perkhidmatan baharu ke Madinah, Arab Saudi," katanya.

-- BERNAMA