SICW 2025: Malaysia raih RM15 bilion pelaburan digital dari Singapura

Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Singapore International Cyber Week (SICW) 2025. - Foto MDEC
SINGAPURA: Malaysia terus mencipta lonjakan baharu dalam ekonomi digital serantau selepas berjaya meraih RM15 bilion pelaburan digital sempena Singapore International Cyber Week (SICW) 2025, hasil misi berimpak tinggi diketuai Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Ringkasan AI
- Malaysia meraih RM15 bilion pelaburan digital sempena Singapore International Cyber Week (SICW) 2025, hasil misi diketuai Menteri Digital Gobind Singh Deo.
- Pelaburan utama termasuk daripada AOLANI Cloud, MYS AssetCo, Easybook dan Bitdeer Technologies bagi membangunkan pusat data, mobiliti digital serta infrastruktur blockchain.
- MDEC mengesahkan jumlah keseluruhan pelaburan digital Singapura di Malaysia bagi 2025 mencecah RM25.18 bilion, mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab digital ASEAN.
“Pelaburan ini akan mempercepat pembangunan infrastruktur data negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi dan inovasi terkemuka di ASEAN,” katanya.
Antara syarikat yang mengumumkan komitmen pelaburan besar ialah:
- AOLANI Cloud – RM10.8 bilion untuk pusat data dan infrastruktur awan berprestasi tinggi.
- MYS AssetCo (DDSP) – RM1.7 bilion bagi membangunkan pusat data hiperskala dan infrastruktur tenaga sokongan.
- Easybook – RM1.4 bilion untuk memperluas perkhidmatan mobiliti digital serta menubuhkan hab R&D serantau di Malaysia.
- Bitdeer Technologies Group – RM1.1 bilion untuk membina infrastruktur blockchain bagi operasi aset digital global.
“Pelaburan yang diperoleh ini menandakan kejayaan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai Digital Heart of ASEAN,” ujarnya.

Gobind (tengah) ketika meninjau ruang pameran teknologi sempena (SICW) 2025. - Foto MDEC
Secara keseluruhan, pelaburan digital yang diluluskan MDEC daripada syarikat berpangkalan di Singapura bagi 2025 mencecah RM25.18 bilion merangkumi sektor pusat data, pembangunan kecerdasan buatan (AI), mobiliti dan infrastruktur blockchain.
Delegasi Malaysia turut menghadiri ASEAN Ministerial Conference on Cybersecurity (AMCC) sempena SICW 2025 yang membincangkan ketahanan siber serantau, tadbir urus data rentas sempadan serta kerjasama pelbagai pihak bagi memperkukuh keselamatan digital ASEAN.
Misi ini menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk memacu kepimpinan digital melalui inovasi, kemampanan dan kerjasama antarabangsa yang mampan selaras dengan aspirasi MD untuk menjadikan negara sebagai hab digital ASEAN.
Untuk maklumat lanjut, layari mdec.my .
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami