Keuntungan sebelum cukai CIMB Group Holdings Bhd meningkat kepada RM1.53 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2017 daripada RM1.36 bilion semasa suku yang sama 2016.

Perolehan bertambah kepada RM4.42 bilion daripada RM4.12 bilion bagi tempoh yang sama.

Bagi sembilan bulan pertama 2017, keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM4.6 bilion daripada RM3.67 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan melonjak kepada RM13.11 bilion daripada RM11.75 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, prestasi memberangsangkan itu didorong oleh margin faedah bersih positif, peruntukan yang semakin berkurangan dan aktiviti pasaran modal lebih baik.

"Kami terus menunjukkan kemajuan di seluruh syarikat dengan mencatatkan pendapatan operasi sukuan tertinggi yang belum pernah direkodkan sebelum ini, iaitu sebanyak RM4.42 bilion pada suku ketiga ini dan menjana 26 peratus pertumbuhan keuntungan bersih bagi sembilan bulan pertama 2017.

"Khususnya, francais perbankan pengguna kami di Malaysia dan Thailand, serta aktiviti pelaburan dan perbankan korporat juga menyumbang kepada keputusan kewangan bereputasi baik bagi suku ini," katanya.

Zafrul berkata, bank itu berada di landasan untuk memenuhi sasaran kewangan utama pada 2017.

"Semasa trajektori ekonomi serantau secara amnya positif dan aktiviti pasaran modal semakin meningkat, kami mengekalkan unjuran optimistik namun berhati-hati dan sentiasa beringat bagi pengawalan ketat ke atas kualiti aset dan kos di seluruh semua perniagaan," katanya.

Beliau berkata, bank itu menerima lesen perbankan penuh untuk beroperasi di Filipina, sekali gus melengkapkan operasi CIMB di ASEAN.

CIMB berkata pendapatan operasi syarikat pada sembilan bulan pertama 2017 meningkat 11.6 peratus kepada RM13.11 bilion, sebahagian besarnya dipacu oleh 11.2 peratus pertumbuhan dalam pendapatan bukan faedah seiring dengan aktiviti pasaran modal yang lebih baik dan kenaikan pendapatan fi.

Keuntungan sebelum cukai bagi perbankan pengguna serantau meningkat 10.8 peratus kepada RM1.92 bilion berbanding tahun pada sembilan bulan pertama 2017,sekali gus menyumbang 42 peratus kepadakeuntungan sebelum cukai, manakala pertumbuhan perolehan disokong oleh prestasi pendapatan bukan faedah yang kukuh selain kos operasi dapat dikawal.

Keuntungan sebelum cukai perbankan komersial serantau pula susut 14.2 peratus memandangkanpeningkatan perolehan daripada pertumbuhan pendapatan bukan faedah telah diimbangi oleh peruntukan lebih tinggi, menurut CIMB.

Sumbangan keuntungan sebelum cukai bukan Malaysia kepada syarikat meningkat 33 peratus pada sembilan bulan pertama 2017, daripada 25 peratus sebelum ini.

Keuntungan sebelum cukai Indonesia melonjak 67.1 peratus berbanding tahun, keuntungan sebelum cukai Thailand meningkat 33.8 peratus berbanding tahun dan Singapura meningkat 45.2 peratus.

-- BERNAMA