PUTRAJAYA: Petronas dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas & Tenaga Malaysia (MOGSC) dan Persatuan Pemilik OSV Malaysia (MOSVA) menganjurkan Hari Perbualan Program Pembiayaan Vendor Petronas (VFP),  bertujuan untuk membuka ruang dikalangan vendor dalam Peralatan Perkhidmatan Minyak dan Gas (OGSE) terhadap ekosistem dengan institusi kewangan sebagai rakan kongsi untuk mewujudkan penyelesaian kewangan yang berdaya maju.

Petronas Vendor Financing Programme atau VFP merupakan inisiatif yang diwujudkan bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dikalangan vendor OGSE tempatan yang berdaftar daripada sembilan rakan strategik program.

Ia membabitkan beberapa institusi perbankan terkemuka tanah air termasuklah Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, CIMB, Export-Import Bank Malaysia Berhad (EXIM), HSBC Bank Malaysia Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank), RHB Bank dan UOB Malaysia.

VFP merupakan inisiatif yang diwujudkan bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dikalangan vendor OGSE tempatan

Ketua Program Strategik & Pelesenan Perolehan Kumpulan Petronas, Natrah Mohd Tahir berkata, VFP dicadangkan untuk membantu vendor OGSE Malaysia yang terjejas teruk akibat krisis harga minyak pada 2018 dalam mendapatkan modal kerja dan menambah baik aliran tunai mereka demi untuk mengekalkan perniagaan mereka.

“Kini ditambah lagi dengan kesan pandemik yang berpanjangan, sudah tiba masanya kami mempergiatkan usaha kami untuk menyokong vendor kami yang semuanya memainkan peranan penting dalam ekosistem minyak dan gas," katanya kepada media.

Bagi sebahagian vendor, komitmen serta ruang yang dijelmakan oleh Petronas ini merupakan sesuatu yang amat dinantikan dan sudah pastinya memberi dan menyediakan manfaat yang besar kepada mereka.

"Adalah sangat penting menerusi inisiatif yang diambil untuk (vendor) melangkah lebih jauh dalam industri. Ini kerana industri perusahaan minyak dan gas ini diwakili oleh beberapa bahagian.

"Ada syarikat yang besar ataupun yang tersenarai dan juga terdapat syarikat yang sederhana. Dan yang paling penting dalam industri minyak dan gas ini terdapat juga dari kalangan mereka adalah syarikat kecil dan sederhana," jelas Presiden The Malaysian Oil, Gas & Energy Services Council (MOGSC),  Syed Saggaf Syed Ahmad yang turut hadir dalam pada program tersebut yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Selain itu juga antara manfaat daripada inisiatif (VFP) akan membolehkan vendor-vendor yang berdaftar mempunyai akses kepada kemudahan pembiayaan yang memenuhi keperluan khusus untuk melaksanakan kewajipan kontrak mereka.

VFP disokong oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), yang menyediakan skim jaminan sebagai alternatif kepada keperluan cagaran oleh bank.

Malah jelas Petronas, kerjasama antara PETRONAS, MOGSC dan MOSVA adalah penting untuk memastikan VFP akan memanfaatkan vendor.

Daya tahan dan kemampanan ekosistem OGSE jelas Natrah, bukan sahaja berfungsi ketika vendor berdepan dengan cabaran dan waktu yang sukar, tetapi juga untuk membolehkan mereka berkembang seiring dengan industri dan mencapai potensi penuh yang sepatutnya.

Malah katanya, program itu telah menunjukkan impak yang positif dalam tempoh yang singkat terhadap industri dengan menyaksikan lebih 260 permohonan diterima dengan membabitkan pembiayaan bernilai RM1.6 bilion yang telah diluluskan setakat Julai 2022.

Kira-kira 200 peserta menghadiri program Hari Perbualan Program Pembiayaan Vendor yang dianjurkan hari ini.