Aktiviti korek pasir secara haram di Sungai Golok jejas kestabilan sempadan

Wichan berkata Sungai Golok ialah kawasan panas bagi aktiviti itu yang kebanyakannya berlaku berhampiran sempadan Malaysia, termasuk daerah Waeng. - Gambar Bernama
NARATHIWAT: Aktiviti mengorek pasir secara haram di sepanjang Sungai Golok dikenal pasti antara punca utama hakisan tanah serta perubahan aliran sungai sekali gus boleh menjejaskan kestabilan kawasan yang menjadi sempadan di antara Malaysia dan Thailand.
Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat Wichan Chaisetsumpan berkata Sungai Golok ialah kawasan panas bagi aktiviti itu yang kebanyakannya berlaku berhampiran sempadan Malaysia, termasuk daerah Waeng.
Beliau berkata pihak berkuasa Thailand telah memperketat pemantauan terhadap kegiatan haram berkenaan, dengan beberapa tindakan segera diambil susulan maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai penggunaan jentera berat di sepanjang sungai itu.
"Dalam insiden terbaharu di daerah Waeng, risikan dan maklumat daripada Malaysia membawa kepada rampasan dua jentolak serta penahanan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti haram berkenaan.
"Perkembangan ini mencerminkan tahap kerjasama yang kukuh antara agensi keselamatan kedua-dua negara dalam membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan," katanya kepada media Malaysia melalui jurubahasa tempatan dalam satu temu bual khas, baru-baru ini.
Wichan berkata pelaksanaan usaha memelihara kawasan sempadan tidak boleh secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama rapat, komunikasi berterusan dan operasi lapangan secara bersepadu antara anggota keselamatan kedua-dua pihak.
Sementara itu, mengulas isu penyeludupan dadah di sepanjang Sungai Golok, beliau berkata wilayah berkenaan berkongsi sempadan melalui beberapa daerah termasuk Waeng, Sukhirin, Si Sakhon dan Chanae, meliputi ratusan kilometer (km), kira-kira 95 km melalui sungai berkenaan serta kawasan pergunungan.
Beliau berkata sungai itu sering digunakan oleh sindiket pengedaran dadah sebagai laluan untuk membawa bekalan ke Malaysia kerana terdapat bahagian tertentu yang cetek dan mudah dilalui.
Namun, agensi keselamatan Thailand terus mempergiat kerjasama melalui operasi bersepadu yang telah berjaya membawa kepada beberapa siri tangkapan serta rampasan dadah dalam kuantiti yang banyak.
"Siasatan terhadap suspek yang ditahan mendedahkan bahawa kebanyakan mereka berniat menyeludup dadah ke Malaysia," katanya.
Bagi menangani isu itu secara menyeluruh, Wichan berkata beberapa mesyuarat bersama telah diadakan antara pihak berkuasa kedua-dua negara yang melibatkan pelbagai agensi pengurusan sempadan.
Beliau berkata kedua-dua pasukan polis juga bersetuju memperkukuh perkongsian maklumat risikan serta menjalankan rondaan bersama di sepanjang sempadan bagi meningkatkan kawalan dan mengurangkan risiko penyeludupan dadah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


