Skip to main content

Dunia

Amnesty gesa serangan Israel di Lubnan disiasat sebagai jenayah perang

Kristine Beckerle
Beckerle (foto) berkata dalam tempoh seminggu sahaja pihak tentera Israel telah melenyapkan seluruh ahli keluarga termasuk mengorbankan berbelas-belas kanak-kanak di Lubnan. -Gambar fail/X
Advertisement

LONDON: Pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International menuduh tentera Israel sengaja memusnahkan seluruh keluarga dalam siri serangan udara di Lubnan dan menggesa agar tindakan ketenteraan tersebut disiasat sebagai jenayah perang.

Badan pemantau yang berpangkalan di London itu mendedahkan dalam laporan terbaharunya bahawa serangan rejim berkenaan telah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara terang-terangan.

Timbalan Pengarah Serantau Amnesty International bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Kristine Beckerle berkata, dalam tempoh seminggu sahaja pihak tentera Israel telah melenyapkan seluruh ahli keluarga termasuk mengorbankan berbelas-belas kanak-kanak di Lubnan.

Tindakan itu menurut beliau jelas menunjukkan sikap acuh tidak acuh yang kejam oleh tentera rejim terhadap nyawa orang awam di kawasan konflik.

Sehubungan itu, Amnesty International mendesak komuniti antarabangsa untuk mengenakan sekatan senjata yang menyeluruh serta-merta ke atas Israel bagi menghalang pembunuhan berterusan.

Pertubuhan itu turut menyeru negara-negara luar menggunakan bidang kuasa sejagat dan ekstrateritorial bagi menyiasat serta mendakwa pihak yang bertanggungjawab atas jenayah berkenaan di mahkamah.

Berdasarkan hasil siasatan badan itu, tentera Israel didapati gagal membezakan antara penduduk awam dengan sasaran ketenteraan sah, selain sengaja melancarkan serangan terus ke arah objek awam tanpa mengambil langkah berjaga-jaga untuk meminimumkan kemalangan jiwa.

 

Must Watch Video

Advertisement