HEBRON: Seorang bayi lelaki Palestin berusia tujuh bulan disahkan maut, manakala ibu bapanya cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kenderaan keluarga mereka berhampiran Hebron di Tebing Barat yang diduduki, semalam.
Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti mangsa sebagai Sam Fahd Abu Haikal, yang meninggal dunia di Hospital Kerajaan Hebron akibat kecederaan parah di kepala, lapor BBC.
Bapa mangsa, Fahd Abdul Aziz Abu Haikal, seorang pensyarah di Universiti Bethlehem, bersama isterinya turut cedera dalam insiden di kawasan Tel Rumeida itu.
Menurut dakwaan keluarga, kenderaan mereka telah berhenti selepas melihat kehadiran tentera berhampiran sebuah pusat pemeriksaan sebelum anggota terbabit melepaskan tembakan tanpa amaran.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan berkata anggotanya melepaskan tembakan selepas mendakwa sebuah kenderaan dipandu laju ke arah mereka.
Bagaimanapun, hasil siasatan awal IDF mendapati mangsa dalam insiden itu merupakan orang awam yang tidak terlibat dalam sebarang ancaman keselamatan.
Tentera Israel turut menyatakan kekesalan terhadap insiden berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.