TAIPEI: Beberapa pengundi dilaporkan melanggar undang-undang pilihan raya Taiwan setakat tengah hari Sabtu termasuk mengoyak kertas undi mereka, lapor Agensi Berita Pusat (CNA) memetik pegawai pilihan raya tempatan.

Di New Taipei, suruhanjaya pilihan raya tempatan berkata pelbagai pelanggaran dilaporkan di beberapa pusat mengundi.

Seorang pengundi wanita di daerah Xizhi mengoyakkan kertas undi kerana calon kesukaannya tidak tersenarai, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya New Taipei.

Di daerah Shulin seorang lelaki didapati merakam gambar kertas undi kosong menggunakan telefon bimbit manakala seorang pengundi lain di daerah Yonghe didapati menggunakan telefon mudah alih ketika berada di dalam pusat mengundi.

Sementara itu, anak perempuan seorang wanita di daerah Fongshan di Kaohsiung secara tidak sengaja mengoyakkan kertas undi ibunya.

Menurut undang-undang pilihan raya Taiwan, ibu bapa boleh membawa kanak-kanak di bawah umur enam tahun ke pusat mengundi.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, pengundi dengan sengaja merosakkan atau memusnahkan kertas undi boleh dikenakan denda NT$5,000 (AS$160.79) hingga NT$50,000.

Pegawai kerajaan tempatan berkata bahawa mereka yang melanggar undang-undang telah diberi amaran dan dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA