ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 2 Jun 2020.

1) WHO ingin terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ingin terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) meskipun Presiden Donald Trump memutuskan hubungan dengan badan kesihatan dunia itu.

Ketua Pengarah WHO ,Tedros Adhanom Ghebreyesus, memaklumkan, hubungan kerjasama antara Amerika dan organisasi itu membuka kepada perbezaan besar selama beberapa dekad.

2) Kematian George Floyd curi perhatian masyarakat sivil London, Berlin dan Toronto

Rentetan kematian warganegara Amerika Syarikat (A.S) George Floyd di Minneapolis pada 25 Mei lalu, ramai telah bangkit memprotes ketidakadilan terhadap layanan kepada masyarakat kulit hitam di negara itu.

Kematian Floyd juga telah mendapat perhatian ramai di platform media sosial di seluruh dunia, pelbagai slogan dan kutipan dana mula diperkenalkan bagi membantu individu-individu yang tertindas atau menjadi mangsa keganasan.

3) Jacinda Ardern anggap kematian George Floyd mengerikan

Susulan kematian warga Amerika Syarikat, George Floyd di Minneapolis 25 Mei lalu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut menyuarakan kecaman dan menyifatkan kejadian itu sebagai mengerikan.

Kenyataan Ardern itu seiring reaksi sebilangan rakyat New Zealand yang berarak sebagai tanda solidariti terhadap Floyd dan membantah diskriminasi kaum yang masih wujud pada hari ini.

4) Trump kerah tentera tangani protes susulan kematian George Floyd

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengerahkan tentera bagi membendung protes yang bertukar ganas di seluruh negara itu susulan kematian warga kulit hitam George Floyd.

Bercakap di Rose Garden di White House pada Isnin, Donald Trump berkata apa yang berlaku adalah satu penghinaan dan kerajaan persekutuan mula mengambil tindakan tegas berhubung tindakan ganas perusuh.

5) COVID-19: Thailand rekod satu kes baharu, satu lagi kematian

Thailand melaporkan satu kematian akibat COVID-19 dan satu kes positif baharu melibatkan pelajar Thai yang baru kembali dari Arab Saudi dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah terkumpul kematian dan kes positif COVID-19 di negara itu masing-masing 58 dan 3,083. Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terbaharu itu ialah seorang lelaki warga Thai berusia 80 tahun dari Narathiwat di selatan negara.

6) COVID-19: Singapura buka 75 peratus sektor ekonomi, sekolah dijangka dibuka berperingkat

Singapura membuka semula 75 peratus ekonominya pada Selasa, sebagai sebahagian daripada pendekatan terkawal fasa ketiga sejak negara itu melaksanakan sekatan pergerakan pada April.

Sektor kewangan, pembuatan elektronik serta logistik kembali beroperasi dengan tahap keselamatan yang ketat setelah ia ditutup dua bulan untuk mencegah penyebaran COVID-19.

7) Indonesia batal hantar jemaah haji tahun 2020

Indonesia memutuskan untuk tidak menghantar rakyatnya menunaikan ibadat haji di Tanah Suci pada tahun ini. Menteri Hal Ehwal Agama republik itu, Fachrul Razi berkata, keputusan itu dibuat ekoran pandemik COVID-19 yang melanda banyak negara termasuk Arab Saudi dan Indonesia.

8) 'Rakyat Pakistan perlu hidup dengan COVID-19'- Imran Khan

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada Isnin berkata, ekonomi negara yang semakin merudum membuatkan pemimpin negara itu menarik balik arahan perintah berkurung di Pakistan. Tindakan itu tetap dilaksanakan meskipun jumlah kes dan kematian meningkat malah Imran mendorong rakyatnya untuk “hidup dengan virus tersebut”.