ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 17 Oktober 2020.


1) COVID-19: WHO beri amaran peningkatan kes di Eropah

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran berhubung peningkatan kes COVID-19 di Eropah.

Jangkitan meningkat tiga kali ganda daripada yang dilaporkan pada minggu pertama Mac.


2) COVID-19: Kes positif global hampiri 40 juta, kematian lebih 1.1 juta

JUMLAH kumulatif kes positif global COVID-19 kini menghampiri angka 40 juta.

Ini berikutan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.


3) Nuklear: White House tolak cadangan Rusia

WHITE House menolak cadangan Rusia untuk melanjutkan perjanjian kawalan senjata nuklear tanpa syarat lebih ketat.

Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat, Robert O Brien menegaskan, ia bertentangan dengan cadangan Washington sebelum ini.


4) COVID-19: China jalankan 11 juta ujian hanya dalam lima hari

China melakukan 11 juta ujian saringan COVID-19 hanya dalam masa lima hari, di bandar di timur Qingdao selepas kes baharu dilaporkan hujung minggu lalu.

Sebanyak 13 kluster jangkitan dikesan di bilik imbasan CT Qingdao Chest Hospital, lapor Agensi Anadolu memetik Global Times.


5) Situasi di Xinjiang 'hampir sama' dengan genosid - Penasihat keselamatan AS

PENASIHAT keselamatan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) menggambarkan layanan terhadap umat Islam di Xinjiang, China “hampir sama” dengan genosid.

“Jika bukan genosid, sesuatu yang hampir sama sedang berlaku di Xinjiang,” kata Robert O’Brien pada Rabu dalam acara Aspen Institute secara maya.


6) Puluhan lagi paus terdampar, kali ini di New Zealand

Renjer dan sukarelawan New Zealand berusaha menyelamatkan kira 25 ekor paus yang terdampar di sebuah pantai di utara negara itu, kata Jabatan Pemuliharaan pada Sabtu.

Sebanyak 40 ekor ikan paus dilihat berenang berhampiran pantai di air yang keruh dan cetek pada awal Sabtu sebelum beberapa dari mereka dilihat terdampar di pantai, kata jabatan itu dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya.


7) Youtuber kontroversi Singapura, Amos Yee, didakwa miliki pornografi perempuan bawah umur

Youtuber kontroversi dari Singapura, Amos Yee, yang kini berlindung dalam suaka di Amerika Syarikat (AS) sejak 3 tahun lalu, didakwa terlibat dalam pemilikan bahan pornografi membabitkan individu bawah umur, lapor akhbar Chicago Sun-Times.

Amos yang pernah dihukum penjara di Singapura pada tahun 2015 dan 2016 atas kesalahan mengeluarkan kata-kata menghina penganut Kristian dan Islam, dilaporkan membuat pertukaran gambar-gambar bogel dan ‘ribuan mesej’ dengan seorang remaja perempuan 14 tahun dari Texas.


8) Jacinda Ardern menang besar

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern meraih kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu pada Sabtu.

Kebanyakan undi sudah dikira dan Parti Buruh Ardern telah memenangi 49 peratus undi dan dijangkakan beliau akan menang dengan mendapat majoriti mutlak dalam Parlimen negara itu - sesuatu yang jarang berlaku.