ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 30 Januari 2021.

1) COVID-19: Thailand catat 930 kes baharu, satu kematian

Thailand merekodkan 930 kes baharu COVID-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 17,953 dengan 77 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata kematian itu membabitkan pekerja Myanmar berusia 31 tahun di wilayah Samut Sakhon.

2) Jenayah siber: Interpol tingkat kerjasama dengan 194 anggota

Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) sedang bekerjasama rapat dengan 194 negara anggota dalam menangani jenayah siber ketika dunia berhadapan pandemik COVID-19.

Ketua Setiausahanya, Jürgen Stock berkata, penyelesaian secara global itu penting bagi mewujudkan rangkaian maklumat yang berkesan dalam usaha menangani jenayah siber.

3) Dokumentari 'Assassins' singkap pembunuhan Kim Jong Nam mula ditayangkan

Selepas hampir empat tahun kejadian pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, Kim Jong Nam, satu dokumentari yang menyingkap sisi sebenar di sebalik peristiwa itu mula ditayangkan.

Dokumentari bertajuk 'Assassins' itu diarahkan pengarah dari Amerika Syarikat, Ryan White yang mengambil masa sehingga dua tahun setengah untuk melakukan siasatan terhadap suspek 'pembunuh upahan'.

4) COVID-19: Pakar WHO melawat hospital Wuhan kedua

Kumpulan pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat mengenai asal-usul pandemik COVID-19 melawat satu lagi hospital di Wuhan pada Sabtu yang telah merawat pesakit virus berkenaan di awal penularan.

Ini merupakan hari kedua mereka melakukan tugas di bandar tersebut.

5) COVID-19: Vaksin Johnson & Johnson berkesan 85% terhadap penyakit kronik

Vaksin COVID-19 Johnson & Johnson didapati mempunyai keberkesanan pada kadar 66% dalam mencegah penyakit sederhana dan kronik dalam ujian tahap 3 yang dilakukan seluruh dunia.

Namun, syarikat berkenaan mengumumkan pada Jumaat, ia menunjukkan keberkesanan pada kadar 85% terhadap penyakit kronik.

6) 5 maut dalam nahas helikopter di Cuba

Sebuah helikopter tentera Cuba terhempas di kawasan pergunungan timur negara itu pada Jumaat.

Semua lima penumpang dan kru dilaporkan terkorban, lapor Reuters.

7) Saintis ramal 'ribut' solar CME terbesar landa bumi

Sekumpulan pengkaji meramalkan fenomena Pelepasan Massa Koronal (CME) terbesar bakal melanda bumi.

Analisis yang dijalankan kumpulan pakar itu dan diterbitkan dalam Space Weather journal, menjangkakan, 'ribut' solar terbesar berkenaan 10 kali lebih kuat daripada yang diramalkan sebelum ini.

8) Tolak perintah berkurung, Perancis tumpu sekatan perjalanan

Perancis memutuskan untuk tidak mengenakan perintah berkurung ketiga di seluruh negara itu pada Jumaat.

Sebaliknya negara itu menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan yang lebih ketat di sempadan, meningkatkan kawalan polis, dan memastikan pematuhan terhadap arahan bekerja dari rumah.

9) Fenomena 'Pancake Ice', dari mana datangnya?

Sifatnya seperti bunga teratai yang sering dijumpai di atas permukaan air tetapi dalam bentuk bulat dan terhasil daripada ketulan ais.

Sebenarnya, fenomena yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini adalah dikenali sebagai “Ice Pancakes” atau lempeng ais.

10) COVID-19: EU lulus vaksin keluaran AstraZeneca

Pihak kawal selia Kesatuan Eropah (EU) meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca untuk golongan dewasa.

Menurut Agensi Perubatan Eropah (EMA), kelulusan adalah berdasarkan hasil ujian yang menunjukkan vaksin AstraZeneca mencatatkan keberkesanan pada tahap 60 peratus.