ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 23 Mei 2021.

1. 21 peserta maraton di China maut akibat cuaca ekstrim

Seramai 21 peserta maraton meninggal dunia selepas berdepan dengan cuaca ekstrim ketika perlumbaan 100 kilometer di barat laut China.

2. Bencana Alam | Gunung Berapi Nyiragongo meletus

Gunung Berapi Nyiragongo di Congo meletus buat pertama kali sejak dua dekad. Ribuan penduduk di bandar Goma mula membanjiri jalan raya untuk melarikan diri sejurus selepas letusan mengubah langit malam yang gelap menjadi merah.

3. COVID-19 | 55 peratus divaksin, Peru mula catat kadar kematian rendah

Peru kini menyaksikan keberkesanan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan. Ia apabila kadar kematian akibat pandemik itu terutamanya dalam kalangan warga emas semakin berkurangan.

4. Vaksin COVID-19: Pfizer, AstraZeneca berkesan terhadap varian India

Pfizer-BioNTech dilaporkan 88 peratus berkesan terhadap varian B16172 atau dikenali varian India selepas selesai menerima dua dos.

5. Tiada lagi Darwin's Arch

Salah satu formasi batuan semula jadi paling terkenal di Kepulauan Galapagos telah runtuh. Bahagian atas Darwin's Arch, yang terletak di bahagian utara kepulauan Pasifik, runtuh "akibat hakisan semula jadi," menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar Equador.

6. Sanggup beratur hanya untuk hidu bunga berbau bangkai

Hanya kerana ingin menghidu bau bangkai, warga San Francisco Bay Area sanggup beratur panjang.

7. Gunung berapi meletus di Congo, aliran lava hingga ke lapangan terbang

Lava daripada gunung berapi yang meletus di Republik Kongo mengalir sehingga Lapangan Terbang Goma, kata seorang ahli vulkanologi pada Sabtu ketika pihak berkuasa memulakan proses pemindahan penduduk di bandar berkenaan.

8. Kim Jong Un larang rakyat berambut 'mullet', pakai seluar 'skinny'

Rakyat Korea Utara tidak dibenar menggayakan rambut ‘mullet’ dan memakai seluar jean ketat atau ‘skinny’.

9. Lebih 125,000 guru di Myanmar digantung kerja

Lebih 125,000 guru di Myanmar digantung kerja oleh pihak tentera kerana menyertai gerakan keingkaran awam bagi membantah rampasan kuasa tentara Februari lalu, kata pegawai daripada Persekutuan Guru Myanmar.

10. Thailand guna anjing kesan individu dijangkiti virus COVID-19

Thailand memulakan penggunaan anjing pengesan bagi mengesan individu yang dijangkiti virus COVID-19 pada Jumaat.