ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Ogos 2021.

1. COVID-19: Kes positif global lebih 205.9 juta, korban 4.34 juta

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia ketika ini melepasi 205.9 juta kes.

Ini berikutan lebih 700,000 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas.

2. 4.6 bilion dos vaksin COVID-19 didaftar di seluruh dunia

Lebih 4.608 bilion dos vaksin COVID-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

Menurut data Johns Hopkins University, China kini mendahului dengan lebih 1.83 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

3. Kompleks membeli-belah di Jakarta dibuka kepada penerima vaksin COV

Ibu kota Indonesia membuka kembali pusat membeli-belah pada minggu ini secara eksklusif kepada individu yang telah diberikan vaksin COVID-19.

Dengan sekatan pergerakan masih dikuatkuasakan di sebahagian besar wilayah republik itu, pusat membeli-belah di Jakarta dibenarkan beroperasi pada kapasiti 25 peratus dalam usaha menjaga ekonomi.

4. Konflik Afghanistan: PBB gesa Taliban henti serangan

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Taliban menghentikan segera serangan mereka di Afghanistan dan memberi amaran bahawa keadaan di negara itu makin kacau-bilau.

António Guterres berkata ini adalah saat untuk menghentikan serangan dan memulakan rundingan serius bagi mengelakkan perang saudara berpanjangan di Afghanistan

5. COVID-19: Jepun catat kes harian tertinggi lebih 20,000

Kes harian COVID-19 di Jepun meningkat kepada 20,000 pada Jumaat, yang tertinggi pernah dicatatkan di negara itu sejak pandemik bermula.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,773 jangkitan baharu disahkan di Tokyo, venue berlangsungnya temasya Sukan Olimpik 2020.

6. COVID-19: Rusia rekod 22,277 kes baru, angka kematian tertinggi 815

Rusia mencatatkan angka tertinggi baharu kes kematian harian COVID-19 dua hari berturut-turut, di sebalik tindakan Moscow menamatkan beberapa sekatan.

Sebanyak 815 kes kematian akibat COVID-19 dan 22,277 kes jangkitan baharu direkodkan pada Jumaat.

7. Konflik Afghanistan: Kanada rancang terima 20,000 rakyat Afghan paling rentan

Kanada merancang untuk menempatkan semula lebih 20,000 rakyat Afghanistan yang rentan, termasuk pemimpin wanita, pekerja hak asasi manusia dan wartawan bagi melindungi mereka daripada pemberontak Taliban

8. Konflik Afghanistan: Taliban tawan lebih banyak bandar, Kabul dijangka dalam beberapa hari

Taliban telah merampas bandar kedua dan ketiga terbesar di Afghanistan.

Anggota keselamatan kerajaan gagal mempertahankan bandar-bandar tersebut, meningkatkan kebimbangan ibu kota Kabul akan turut diserang dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

9. COVID-19: FDA lulus dos ketiga vaksin kepada golongan berisiko

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) meluluskan penggunaan dos penggalak atau booster vaksin COVID-19 jenis Pfizer dan Moderna kepada individu yang mempunyai tahap sistem kekebalan tubuh yang lemah selepas dua dos.

10. Budaya Aztec dihidupkan di Mexico City, selepas 500 tahun kejatuhan Tenochtitlan

Budaya Aztec yang menyimpan cerita ratusan tahun kembali dihidupkan di Mexico City pada Khamis lalu, sempena memperingati 500 tahun kejatuhan ibu kota Tenochtitlan ke bawah kuasa Sepanyol.

Kewujudan tapak kota usang itu diyakini terus berada di bawah kepesatan pembangunan megalopolis Mexico City dan juga di kawasan Dataran Zocalo, lapor agensi berita Reuters.