Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United Airlines, Oscar Munoz, telah memohon maaf atas kejadian seorang penumpang diheret keluar dari pesawat penerbangan itu, dan telah berjanji akan mengkaji secara menyeluruh kesemua amalan syarikat penerbangan itu.

Permohonan maaf itu dibuat selepas tindakan syarikat penerbangan dalam mengendalikan kes itu, serta penjelasan awal daripada syarikat tersebut, dikritik hebat di media sosial.

Kejadian yang telah dirakamkan dalam bentuk video dan gambar oleh penumpang lain di dalam pesawat tersebut, telah disebarkan secara meluas di laman media sosial seluruh dunia.

Rakaman video tersebut menunjukkan salah seorang penumpang diseret keluar secara paksa oleh tiga pegawai keselamatan dari tempat duduknya gara-gara tempahan yang berlebihan.

Difahamkan, tempahan tiket yang berlebihan menyebabkan pihak United Airlines meminta segelintir penumpang untuk menangguhkan penerbangan mereka secara sukarela.

Oleh kerana tidak ada sesiapa yang tampil, syarikat penerbangan itu terpaksa memilih nama penumpang secara rawak.

Penumpang yang berusia 69 tahun itu, dilihat dalam keadaan berlumuran darah di mukanya ekoran kejadian itu.

“Saya berterusan berasa terganggu dengan kejadian dalam penerbangan itu dan memohon maaf kepada penumpang yang dipaksa keluar itu serta semua penumpang yang lain.

“Saya mahu anda tahu kami bertanggungjawab sepenuhnya dan kami akan berusaha untuk membetulkannya,” kata Munoz.

Kenyataan terbaru Munoz itu bertentangan dengan kenyataan syarikat berkenaan sebelum ini, yang kelihatan menyalahkan penumpang berkenaan.

"Kakitangan kami mengikuti prosedur yang ditetapkan untuk berurusan dengan situasi seperti ini," kata Munoz sebelum ini.

Kejadian itu telah menyebabkan saham United Airlines menjunam ke bawah 2.9 peratus, dan ditutup pada 1.1 peratus.