Pihak berkuasa maritim telah mengesan beberapa tumpahan minyak di Laut China Timur, berhampiran lokasi di mana sebuah kapal tangki Iran tenggelam seminggu yang lalu.

Menurut kenyataan Pentadbiran Lautan Negeri (SOA) China pada Ahad, tumpahan minyak sepanjang 5.4km dan 1.4km lebar itu telah dilihat kira-kira 5km di barat daya lokasi kapal tangki tersebut tenggelam.

Sehari sebelum itu, SOA berkata tumpahan minyak sepanjang 4km dan 400m lebar telah dilihat kira-kira 5km di tenggara lokasi kapal tangki tersebut.

Data satelit menunjukkan terdapat tiga tumpahan minyak yang berjumlah kira-kira 332 kilometer persegi dalam kawasan yang dipantau.

Tumpahan minyak paling besar berukuran kira-kira 28km².

SOA akan terus memantau situasi itu dan memberikan maklumat terkini.

Kapal tangki minyak milik Iran yang didaftarkan di Panama itu membawa 113,000 tan minyak mentah ringan ketika bertembung dengan CF Crystal, sebuah kapal kargo yang didaftarkan di Hong Kong, kira-kira 300km di timur muara Sungai Yangtze pada 6 Jan, sebelum tenggelam pada 14 Jan.

Sejumlah 32 anggota kru yang berada di atas kapal tangki itu -- 30 rakyat Iran dan dua rakyat Bangladesh -- hilang.