DUNIA
EU setuju beli LNG, minyak dari AS bernilai AS$750 bilion menjelang 2028

EU berhasrat untuk mendapatkan LNG, minyak dan produk tenaga nuklear dari AS dengan jangkaan pembelian bernilai AS$750 bilion sehingga 2028, menurut kenyataan bersama EU-AS pada Khamis. - Gambar hiasan/REUTERS
MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) akan membeli gas asli cecair (LNG), minyak dan produk tenaga nuklear dari Amerika Syarikat (AS) bernilai kira-kira AS$750 bilion menjelang 2028, menurut kenyataan bersama mengenai rangka kerja perjanjian perdagangan timbal balik yang adil dan seimbang antara EU-AS yang diterbitkan pada Khamis.
"Kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama memastikan bekalan tenaga yang selamat, boleh dipercayai dan pelbagai, termasuk dengan menangani halangan bukan tarif yang boleh menyekat perdagangan tenaga dua hala.
"Sebagai sebahagian daripada usaha ini, EU berhasrat untuk mendapatkan LNG, minyak dan produk tenaga nuklear dari AS dengan jangkaan pembelian bernilai AS$750 bilion sehingga 2028," menurut kenyataan itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut kenyataan itu, EU juga berhasrat menarik balik sekatan ke atas semua barangan industri yang diimport dari AS."EU berhasrat menghapuskan tarif ke atas semua barangan industri AS serta memberikan akses pasaran istimewa untuk pelbagai hasil laut dan produk pertanian AS, termasuk kacang seperti badam, gajus, dan pistachio, produk tenusu, buah-buahan segar dan diproses, makanan diproses, benih tanaman, minyak kacang soya, serta daging khinzir dan bison," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, sumber asli yang tidak terdapat di EU, termasuk gabus, semua pesawat dan alat ganti pesawat, ubat generik dan bahan ramuan serta prekursor kimia, tidak akan tertakluk kepada tarif 15 peratus AS bermula 1 Sept, tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan, EU merancang untuk meningkatkan pembelian peralatan ketenteraan dan pertahanan dari AS secara signifikan.
"EU merancang untuk meningkatkan secara besar-besaran perolehan peralatan ketenteraan dan pertahanan dari AS, dengan sokongan serta kemudahan daripada kerajaan AS.
"Komitmen ini mencerminkan keutamaan strategik bersama untuk memperdalam kerjasama industri pertahanan rentas Atlantik, memperkukuh kerjasama serasi dalam NATO, dan memastikan sekutu Eropah dilengkapi dengan teknologi pertahanan paling maju serta boleh dipercayai," jelas kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami