ISTANBUL: Ideologi menuju keamanan seperti yang didakap erat mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela wajar dicontohi masyarakat seluruh dunia dalam usaha mencapai keamanan.

Menurut Manlda Mandela, datuknya merupakan pencinta keamanan dan bukan seorang pendendam walaupun selepas berjaya mengalahkan rejim apartheid di Afrika Selatan.

“Sebaik sahaja rejim apartheid dikalahkan, beliau melakukan tiga perkara yang menampakkan kepada kesungguhan ideologi keamanannya.

“Pertama beliau membebaskan semua tahanan politik, kemudian menghapuskan pengharaman semua parti politik di Afrika Selatan bagi membolehkan bagi membolehkan mereka bertanding selain mengambil bahagian dalam pilihan raya bagi menjayakan agenda demokrasi.

“Selain itu, beliau juga memanggil pulang semua warga Afrika Selatan yang hidup dalam buangan bagi turut serta dalam peralihan sistem pemerintahan negara,” katanya.

Tambahnya, ideologi ini juga wajar dicontohi rejim Zionis walaupun masyarakat dunia tahu akan keangkuhan rejim ini.

Katanya, sekiranya berlaku sebarang bentuk rundingan dalam agenda pembebasan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, ketiga-tiga ideologi yang dibawa Nelson Mandela ini seharusnya menjadi agenda rejim dan masyarakat Palestin mesti menolak sebarang rundingan sekiranya perkara asas ini tidak dipenuhi.

“Saya ingin menghantar mesej sama kepada rakan-rakan dan saudara mara kita di Gaza dan Palestin yang terus dijajah oleh rejim Zionis bahawa sekiranya ketiga-tiga perkara asas ini tidak dipenuhi, maka tidak akan wujud sebarang bentuk rundingan dengan mereka.

“Ia hanya akan dipenuhi sekiranya mereka menyatakan komitmen dengan melakukan perkara yang sama iaitu dengan pembebasan semua tahanan politik dengan segera, menghapuskan pengharaman parti politik dari Palestin supaya mereka dapat menyumbang kepada peralihan baharu.

“Malah mereka juga perlu memanggil pulang kesemua rakyat asal Palestin yang sudah berdiaspora di luar negara bagi sama-sama berpeluang menyaksikan peralihan, menyumbang dan turut serta dalam pembentukan sebuah negara yang aman,” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama delegasi media dari Malaysia yang turut sama menyertai misi Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza yang dijangka memulakan pelayaran pada Jumaat ini.

Terdahulu, Mandla Mandela yang juga merupakan Ahli Parlimen African National Congress (ANC) sejak 2009 mengumumkan penyertaannya dalam misi ini bagi sama-sama menyokong agenda memecah sekatan rejim Israel bagi membolehkan penghantaran bantuan ke Gaza dapat direalisasikan.

Beliau pada masa sama turut dikenali sebagai penyambung legasi datuknya yang turut dikenali dunia sebagai pro-Palestin serta mempunyai hubungan yang akrab dengan pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Allahyarham Yasser Arafat.

[LAPOR LANGSUNG] Gaza Freedom Flotilla: Misi melalui perairan antarabangsa, bukan Israel