TOKYO: Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda timur laut dan utara Jepun pada Isnin, menyebabkan tsunami setinggi hingga 80 sentimeter (cm) di pantai Pasifik di wilayah berkenaan.
Agensi cuaca menasihatkan orang ramai agar berwaspada berikutan peningkatan risiko gempa bumi kuat dalam tempoh seminggu akan datang.
Advertisement
Menurut Kyodo News, amaran tsunami yang dikeluarkan bagi kawasan pantai di wilayah Hokkaido, Aomori dan Iwate kemudian diturunkan kepada nasihat tsunami.
Menjelang tengah malam, nasihat itu, bersama nasihat bagi wilayah Miyagi dan Fukushima, ditarik balik.
Tsunami setinggi 80 sentimeter melanda Pelabuhan Kuji di wilayah Iwate pada 5.34 petang, kira-kira 40 minit selepas gempa, menurut Agensi Meteorologi Jepun, yang pada awalnya meramalkan ombak tsunami setinggi hingga tiga meter.
Selepas gempa bumi melanda luar pesisir pantai Sanriku di Iwate, agensi berkenaan mengeluarkan amaran khas selama seminggu meliputi 182 majlis perbandaran di tujuh wilayah dari Hokkaido hingga Chiba berikutan peningkatan risiko satu lagi gempa kuat.
Ini merupakan kali kedua amaran itu dikeluarkan sejak sistem berkenaan mula beroperasi pada Disember 2022.
Kali pertama ialah pada Disember tahun lalu, susulan gempa berukuran 7.5 pada skala Richter di luar pantai timur wilayah Aomori.
Sistem amaran itu, yang dikenali sebagai "Off the Coast of Hokkaido and Sanriku Subsequent Earthquake Advisory", dibangunkan berdasarkan pengajaran daripada gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter yang memusnahkan timur laut Jepun pada 11 Mac 2011.
Pejabat Kabinet menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu, sama ada secara tidak sengaja atau sebaliknya mengenai ramalan gempa bumi.
Ia juga menggesa orang ramai agar tidak menyimpan bekalan makanan melebihi keperluan.
Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Setakat 8.15 malam, seramai 182,181 penduduk dari lima wilayah iaitu Hokkaido, Aomori, Iwate, Miyagi dan Fukushima diarahkan berpindah, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana.
Sementara itu, JR East berkata ia telah menyambung semula perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen antara stesen Tokyo dan Shin-Aomori pada petang Isnin selepas penggantungan selama kira-kira empat jam, yang menjejaskan sekitar 32,000 orang.
Perkhidmatan kereta api itu akan beroperasi seperti biasa mulai pagi Selasa, kata pengendali berkenaan.
-- BERNAMA-KYODO