Dianggarkan 2.3 trilion Rupiah diperlukan untuk membangunkan semula rumah penduduk dan bangunan yang musnah serta terjejas teruk susulan kejadian gempa bumi yang melanda daerah Pidie Jaya Disember lalu.

Wakil Bupati Pidie Jaya Said Mulyadi berkata sehingga kini 23,000 rumah yang musnah dan terjejas teruk dalam bencana itu masih belum dibaiki dan kerugian yang ditanggung penduduk adalah kira-kira satu trilion Rupiah (RM331 juta).

"Sumbangan pihak luar amatlah dialu-alukan dan dihargai memandangkan kos pembinaan semula, menelan belanja yang sangat besar," katanya kepada wakil media Johor di kediamannya baru-baru ini.

Said berkata sumbangan yang diperoleh hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh JCorp-Kelab Media Johor (KMJ) Prihatin bakal digunakan bagi membaiki Masjid Ahlissilsilah di Gampong Reuduo Kecamatan Pante Raja, Pidie Jaya, yang sebahagiannya musnah dalam bencana itu.

Beliau turut menyatakan penghargaannya atas keprihatinan dan kesungguhan KMJ serta syarikat swasta seperti Johor Corporation (JCorp) dalam membantu masyarakat di Pidie Jaya.

Said menerima sumbangan wang tunai RM50,000 daripada Presiden KMJ Mohd Fauzi Ishak, yang turut disaksikan Pengurus Kanan Pembangunan Bisnes JCorp Wan Mohd Nizam Wan Mohd Omar serta Timbalan Pengurus Komunikasi Korporat JCorp Mohd Ainuddin Aliff Salehuden.

Pidie Jaya, yang terletak kira-kira empat jam perjalanan melalui kereta dari sini, dilanda gempa bumi 6.5 skala Richter pada 7 Dis tahun lepas mengakibatkan korban lebih 100 orang dan menyaksikan banyak kediaman dan masjid musnah dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Ainuddin berkata pihaknya dalam proses mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada masyarakat Pidie Jaya bagi meringankan beban penderitaan mereka.

Beliau berkata misi kemanusiaan tiga hari dengan kerjasama KMJ itu adalah kesinambungan komitmen syarikat berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Program bermula 25 Jan hingga 27 Jan itu, turut menyaksikan sumbangan dua pam air bagi kegunaan anak-anak yatim di Asrama Anak Yatim Johor serta menziarah lokasi kapal di atas rumah dan Masjid Ahlissilsilah di Gampong Reuduo Kecamatan Pante Raja di Pidie Jaya.

-- BERNAMA