Lebih daripada 8,600 penduduk di wilayah utara Thailand kini mendapatkan rawatan akibat penyakit yang berkaitan dengan masalah jerebu.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, kebanyakan daripada mereka kini mengalami gangguan pernafasan sejak Januari, berdasarkan maklumat daripada Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan (NHSO).

Sejak Februari, kualiti udara menjunam dengan bacaan partikel pencemaran di wilayah-wilayah utara makin meningkat melepasi paras selamat.

Daerah Mae Teng di Chiang Mai misalnya, mencatatkan paras pencemaran yang membimbangkan iaitu 492.57 mikrogram per meter kubik (µg/m³) udara, iaitu 10 kali ganda melebihi bacaan tahap selamat standrad Thailand, dan 20 kali ganda melebihi paras selamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Chiang Rai pula, bacaannya sudah melebihi 100 µg/m³ sejak 13 Mac lalu. Wilayah lain yang juga dalam keadaan berjaga-jaga adalah di Lampang, Lamphun, Mae Hong Son, Nan, Phrae, Phayao dan Tak.

Pembakaran ladang pada musim panas menjadi punca masalah jerebu, selain disumbangkan pelepasan asap dari sektor industri serta kenderaan yang semakin bertambah di jalanan.

Timbalan Setiausaha Agung NHSO, Dr Atthaporn Limpanyalert berkata, bilangan pesakit respiratori akibat masalah jerebu di Chiang Mai dan wilayah-wilayah lain di utara negara itu meningkat secara mendadak sejak beberapa bulan lalu.

“Kumpulan yang palung berisiko ialah mereka yang mempunyai penyakit jantung, paru-paru dan pernafasan serta alergi. Jerebu ini boleh memburukkan lagi keadaan mereka,” ujarnya.

Penduduk di semua wilayah terjejas diingatkan supaya memakai topeng muka N95 jika berada di luar rumah, selain dinasihatkan supaya lebih kerap berada di dalam bangunan.