BEIRUT: Kumpulan Hamas memberi amaran bakal menarik diri daripada perjanjian gencatan senjata jika Israel meneruskan pencerobohan ke atas Rafah.

Pegawai kanannya, Osama Hamdan tegaskan pilihan kini berada di tangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Kenyataan Osama menyusul ketika delegasi Hamas berada di Kaherah untuk meneruskan rundingan gencatan senjata.

"Jika pencerobohan Israel berterusan, tidak akan ada gencatan senjata, kerana Israel yang menyerang dan menembak.

"Adalah satu kelaziman berlaku penentangan ke atas pencerobohan ini, unuk mempertahankan diri, dan mengekang pendudukan," katanya.

Israel pada Selasa mengambil alih pintu sempadan antara Mesir dan selatan Gaza, satu-satunya laluan untuk penghantaran bantuan ke Palestin, yang kini diancam kebuluran.

Osama dalam pada itu tegaskan pintu sempadan Rafah akan kekal menjadi terusan untuk kegunaan penduduk Palestin.