TEHRAN: Markas pemerintah utama tentera Iran, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya memaklumkan pada Selasa,kapal-kapal milik mana-mana negara atau syarikat yang menerima pampasan daripada aset Iran yang dibekukan tidak akan dibenarkan melalui Selat Hormuz, lapor Xinhua yang memetik penyiar rasmi Iran, IRIB.
Jurucakap ibu pejabat itu menolak kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa kapal yang rosak disebabkan Iran di Teluk akan dibayar pampasan menggunakan dana Iran yang dibekukan.
Beliau berkata, Iran percaya kapal-kapal terbabit mengalami kerosakan berikutan ancaman keselamatan yang dicetuskan oleh tentera AS serta penggunaan laluan perkapalan yang disifatkannya sebagai tidak sah dan berbahaya di selatan Selat Hormuz.
Jurucakap itu menegaskan, angkatan tentera Iran akan melarang kapal milik mana-mana negara atau syarikat yang menerima pampasan sedemikian daripada merentasi selat berkenaan.
Iran mengetatkan kawalannya ke atas Selat Hormuz bermula 28 Feb lepas apabila ia melarang laluan selamat bagi kapal yang dimiliki atau bersekutu dengan Israel dan AS susulan serangan bersama AS-Israel ke atas wilayah Iran.
-- BERNAMA-XINHUA