Skip to main content

Dunia

Israel beri amaran kepada Erdogan agar tidak campur tangan di Syria

61750236921_IsraelKatz.jpg
Katz (foto) mendakwa Erdogan sedang mengheret Turkiye ke dalam 'langkah berbahaya' di Syria dan menegaskan Israel tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengancam keselamatan rejim itu. -Gambar fail
Advertisement

BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengeluarkan amaran kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan supaya tidak campur tangan dalam konflik di Syria ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak.

Katz mendakwa Erdogan sedang mengheret Turkiye ke dalam 'langkah berbahaya' di Syria dan menegaskan Israel tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengancam keselamatan rejim itu.

Menerusi hantaran di platform X pada Khamis, dia berkata adalah lebih baik untuk Erdogan terus berucap di Parlimen Turkiye daripada menguji keazaman Israel untuk 'mempertahankan dirinya'.

 

 

“Erdogan sedang mengheret Turkiye ke dalam pengembaraan berbahaya di Syria. Israel tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengancam keselamatannya.

“Adalah lebih baik untuk Erdogan terus menyampaikan ucapan kosong di Parlimen Turkiye daripada menguji keazaman Israel untuk mempertahankan diri,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Israel menyerang pangkalan udara Abu al-Duhur di Syria minggu ini susulan dakwaan bahawa Damsyik mungkin membenarkan kehadiran tentera Turkiye di lokasi berkenaan.

Syria bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada rancangan untuk mewujudkan pangkalan tentera Turkiye di kawasan berkenaan.

Ketegangan di antara Israel dan Turkiye sejak kebelakangan ini turut berkisar kepada perkembangan di Syria, yang menyaksikan kedua-dua negara mempunyai kepentingan keselamatan dan ketenteraan yang berbeza.

Setakat ini, kerajaan Turkiye belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai respons kepada kenyataan terbaharu Katz.

Must Watch Video

Advertisement