Ringkasan AI
- Itali memperketat kawalan keselamatan susulan protes besar-besaran terhadap kerajaan Perdana Menteri Giorgia Meloni di sekitar 50 bandar.
- Pelajar dan kesatuan sekerja USB menyertai demonstrasi serta merancang mogok di sektor pengangkutan dan penjagaan kesihatan walaupun terdapat larangan kerajaan.
- Kawalan keselamatan ditingkatkan di lokasi utama seperti Colosseum dan Katedral Milan berikutan kebimbangan kemungkinan berlaku keganasan.
ROM: Itali memperketat kawalan keselamatan susulan protes besar-besaran terhadap kerajaan Perdana Menteri Giorgia Meloni yang bermula pada Jumaat, dengan demonstrasi dirancang di kira-kira 50 bandar di seluruh negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pelajar sekolah dan penuntut universiti dijangka menyertai kebanyakan demonstrasi itu, manakala kesatuan sekerja USB menyeru mogok di beberapa sektor termasuk pengangkutan awam tempatan, pengangkutan jarak jauh dan penjagaan kesihatan.
Pasukan keselamatan turut dikerah secara besar-besaran susulan kebimbangan kemungkinan berlaku keganasan.
Protes itu menyasarkan kerajaan campuran Meloni yang terdiri daripada tiga parti berhaluan kanan dan konservatif, yang telah memerintah Itali selama empat tahun.
Penunjuk perasaan menyalahkan kerajaan atas kadar inflasi yang tinggi dan gaji rendah, manakala golongan pelajar menuntut peningkatan peruntukan bagi sekolah dan universiti.
Menteri Pengangkutan Matteo Salvini mengeluarkan arahan melarang mogok dalam sektor pengangkutan menjelang sambutan All Saints' Day pada 1 Nov, yang merupakan antara cuti umum utama di Itali.
Bagaimanapun, kesatuan sekerja USB menegaskan bahawa pihaknya akan mengingkari larangan itu.
Kawalan keselamatan diperketat di sekitar Colosseum di Rom, tarikan pelancong paling popular di Itali, serta Katedral Milan yang terletak di pusat bandar Milan.
Beberapa demonstrasi sebelum ini, terutama di Milan bertukar menjadi rusuhan selepas bermula secara aman.
-- BERNAMA-dpa