HYDERABAD: Beberapa gergasi teknologi maklumat (IT) India adalah antara syarikat terkemuka yang terjejas akibat tindakan tegas kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap pengambilan pekerja asing berkemahiran secara tetap.
Naib Presiden AS JD Vance dan Setiausaha Buruh Keith Sonderling pada Khamis menuduh syarikat IT terkemuka menyalahgunakan Program Pensijilan Buruh Tetap (PERM) dan skim visa kerja H-1B selama beberapa dekad untuk membawa masuk pekerja asing secara besar-besaran ke AS sehingga menjejaskan peluang pekerjaan rakyat Amerika.
Ketika mengumumkan tindakan tegas itu, Sonderling menyifatkan langkah berkenaan sebagai usaha untuk "menghapuskan punca utama masalah" bagi melindungi pekerja AS.
"Saya dengan ini menggantung penyertaan beberapa firma penyumberluaran IT terbesar di dunia, iaitu Cognizant, Infosys, Tata, Wipro, HCL dan Capgemini, daripada Program Pensijilan Buruh Tetap.
"Selain itu, berikutan beberapa siasatan persekutuan yang sedang berjalan, Jabatan Buruh turut menggantung penyertaan Microsoft dan Adobe daripada program berkenaan," kata Sonderling pada sidang media bersama mengenai inisiatif membanteras penipuan di Washington DC.
"Kami tidak akan menerima sebarang permohonan baharu atau meneruskan pemprosesan permohonan pensijilan buruh tetap yang masih belum selesai melibatkan syarikat berkenaan," katanya.
Menurut Sonderling, sejak 2009, syarikat terbabit telah mengemukakan permohonan untuk mengambil hampir tiga juta pekerja asing dan menerima kelulusan lebih 230,000 visa H-1B serta lebih 100,000 pensijilan buruh tetap.
"Program visa H-1B bertujuan membolehkan syarikat membawa masuk tenaga kerja asing yang benar-benar terbaik untuk mengisi jawatan yang mustahil untuk diisi oleh pekerja Amerika. Malangnya, penipuan kini berlaku secara meluas dalam program itu," kata Vance.
Proses PERM membantu pekerja asing yang diambil bekerja memperoleh status pemastautin tetap AS, manakala skim H-1B, iaitu kategori permit kerja AS yang paling mendapat permintaan dalam kalangan profesional teknologi India, digunakan oleh majikan AS untuk mengambil pekerja asing bagi jawatan khusus yang memerlukan kepakaran tertentu.
Tata Consultancy Services (TCS), Infosys, HCL Tech dan Wipro merupakan antara gergasi dalam sektor teknologi maklumat India yang bernilai US$315 bilion.
Persatuan industri IT India, Nasscom, bagaimanapun memperkecilkan kesan langkah AS itu terhadap syarikat India dengan menyatakan bahawa syarikat terbabit sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah "mengurangkan kebergantungan mereka terhadap visa H-1B secara ketara, di samping terus meningkatkan pengambilan pekerja tempatan dan membina tenaga kerja domestik yang kukuh di AS."
Nasscom memaklumkan bahawa bilangan pekerja yang beralih daripada visa H-1B kepada status pemastautin tetap menerusi PERM "juga agak terhad".
-- BERNAMA