WASHINGTON:Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Isnin bakal menentukan sama ada pakej rangsangan ekonomi kedua terbesar dalam sejarah negara itu yang berjumlah $900 bilion dolar AS, diluluskan atau tidak.

Suntikan dana kepada kerajaan itu adalah usaha bagi mengurangkan beban individu dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di negara itu.

Kelulusan pakej tersebut akan ditentukan melalui proses pengundian ahli Kongres dan Senat, yang dijangkakan bermula seawal jam 9 pagi waktu tempatan.

Pakej itu merupakan tambahan kepada kelulusan pakej rangsangan ekonomi pertama sejak penularan COVID-19 yang berjumlah 2.3 trilion dolar AS, yang juga merupakan suntikan terbesar dalam sejarah, dan diluluskan Mac lalu.

Hampir kesemua rakyat AS termasuk mereka tanpa pekerjaan akan menerima bantuan wang tunai secara berterusan melalui pakej rangsangan tersebut.

Bantuan dana itu akan membantu ahli perniagaan mengekalkan perniagaan mereka, selain menyalurkan bantuan dana kepada sektor yang memerlukan seperti sekolah, syarikat penerbangan, sistem transit dan pengendalian pengedaran vaksin COVID-19.

Sementara itu, Presiden AS dipilih, Joe Biden turut mendedahkan sokongan beliau terhadap pakej rangsangan yang dianggap akan membantu ramai warga negara Uncle Sam itu.

"Mesej saya kepada semua yang sedang bergelut adalah bahawa bantuan sedang dalam perjalanan," kata Biden dalam satu kenyataan.