DUNIA
Laluan udara baharu hubungkan terus Nanjing di timur China dengan Paris

Permintaan bagi laluan baharu penerbangan terus China Eastern Airlines antara Nanjing dan Paris adalah tinggi, dengan lebih 90 peratus tempat duduk kelas ekonomi telah terjual untuk penerbangan sulung. - Gambar hiasan/REUTERS
NANJING: China Eastern Airlines pada pagi Rabu melancarkan laluan penerbangan terus antara Nanjing dan Paris, menghubungkan ibu kota Wilayah Jiangsu -- satu daripada pusat ekonomi utama China -- dengan destinasi Eropah itu, lapor Xinhua.
Penerbangan keluar MU845 yang berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Lukou Nanjing pada 12.45 tengah malam setiap Rabu waktu Beijing, dan tiba di Paris pada 7 pagi waktu tempatan.
Penerbangan masuk MU846 pula berlepas dari Paris pada 2.20 petang waktu tempatan setiap Rabu dan mendarat di Nanjing pada 7.30 pagi keesokan harinya waktu Beijing.
Permintaan bagi laluan baharu ini adalah tinggi, dengan lebih 90 peratus tempat duduk kelas ekonomi telah terjual untuk penerbangan sulung.Seorang pemandu pelancong dari Nanjing yang hanya mahu dikenali sebagai Xie berkata sebelum ini beliau terpaksa terbang dari Shanghai ke Paris, namun "perkhidmatan terus ini menjimatkan lima hingga enam jam untuk perjalanan pergi dan balik."
Paris juga berperanan sebagai hab transit penting untuk penerbangan seterusnya ke Sepanyol, Portugal, Norway dan negara Eropah lain.
Lapangan Terbang Antarabangsa Lukou Nanjing, sebagai hab perjalanan utama di Jiangsu, kini menempatkan 56 syarikat penerbangan dengan sambungan ke lebih 120 destinasi di seluruh dunia, termasuk Milan, Sydney dan Amsterdam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami