PHILADELPHIA: Sekurang-kurangnya 12 terkorban, termasuk lapan kanak-kanak pada Rabu dalam satu kejadian kebakaran di sebuah pangsapuri di Philadelphia, Amerika Syarikat.

Menurut pihak berkuasa, insiden berkenaan merupakan yang terburuk berlaku di bandar tersebut dalam masa terdekat.

Sebelum ini pihak bomba menyatakan angka korban mencecah 13 individu namun mengemaskini laporan kepada 12.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi di tingkat dua bangunan tiga tingkat itu yang terletak di kawasan kejiranan Fairmont.

Menurut pihak bomba, punca kejadian masih disiasat namun siasatan awal mendapati bangunan tersebut sesak dengan penghuni.

Katanya, 26 individu didapati menetap dalam pangsapuri yang sepatutnya hanya boleh menempatkan dua keluarga.

Selain itu alat pengesan asap tidak diselenggara dengan baik dan tidak berfungsi, namun perkara itu dinafi pihak berkuasa tempatan.

Naib Presiden Eksekutif Jawatankuasa Perumahan Philadelphia berkata, sebanyak enam alat pengesan asap dipasang di bangunan tersebut dan kali terakhir ia diperiksa adalah pada bulan Mei 2021.

Saksi kejadian memberitahu agensi berita Philadelphia Inquirer, beberapa penghuni mengeluarkan bateri pada alat tersebut ketika memasak atau menghisap rokok dalam bangunan.