Skip to main content

Dunia

Malaysia-Brunei perkukuh hubungan dua hala, selesaikan isu sempadan - Mohamad Hasan

Mohamad Hasan, Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof -- AWANI
Mesyuarat Pertukaran Surat (Exchange of Letters) dipengerusikan bersama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Luar Kedua Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi perbincangan meliputi isu sempadan darat dan laut, kerjasama tenaga serta usaha memudahkan pergerakan penduduk antara kedua-dua negara.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pertukaran Surat (Exchange of Letters) yang dipengerusikan bersama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Luar Kedua Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan.

Menurut Mohamad, beberapa isu yang memerlukan penyelesaian turut dibincangkan, selain usaha meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah isu sempadan darat dan laut, kerjasama antara Petronas Carigali dengan syarikat minyak Brunei, penubuhan mekanisme mencari dan menyelamat (SAR), serta kemudahan laluan bagi penduduk Brunei ke Sarawak dan Sabah.

“Isu-isu yang kami bincangkan terdiri daripada isu berkenaan dengan sempadan darat, sempadan laut serta kerjasama Petronas Carigali Brunei dengan syarikat minyak Brunei,” katanya.

Beliau berkata, memorandum persefahaman (MOU) berkaitan SAR dijadualkan ditandatangani esok, sebagai antara langkah memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam aspek keselamatan dan bantuan kecemasan.

Dalam pada itu, isu berkaitan laluan keluar masuk antara Brunei, Sarawak dan Sabah turut diberi perhatian susulan jumlah pusat pemeriksaan imigresen yang perlu dilalui penduduk ketika melakukan perjalanan pergi dan balik.

“Kita telah pun minta supaya jawatankuasa teknikal terus berbincang dan mencari cara bagaimana untuk mempermudahkan urusan ini,” katanya.

Mengenai sempadan darat Malaysia-Brunei, beliau berkata kira-kira 50 peratus daripada isu berkenaan telah berjaya diselesaikan, khususnya berkaitan proses penandaan sempadan di lapangan.

Katanya, walaupun kedudukan sempadan kedua-dua negara telah dikenal pasti, terdapat pelbagai keadaan dan faktor di lapangan yang perlu diambil kira sebelum proses penandaan dapat dimuktamadkan.

“Ini akan kami harmonikan mengikut Terms of Reference (TOR) pada 2009 dan laporan yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa teknikal di lapangan.

“Ia akan diharmoni dan dijadikan asas untuk kita memuktamadkan sempadan darat antara kedua-dua buah negara,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement