BEBERAPA hari selepas mengumumkan pembinaan pusat data AI di Johor, NVIDIA telah mengumumkan untuk membina menubuhkan pangkalan di Vietnam untuk membangunkan industri semikonduktor negara itu

CEO Nvidia, Jensen Huang, mengesahkan rancangan syarikat untuk menubuhkan sebuah pusat di negara itu.

Pangkalan ini akan dijadikan tempat untuk menarik bakat dari seluruh dunia untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem semikonduktor Vietnam.

Menerusi pangkalan ini, Vietnam akan menjadi pusat pengeluar cip mereka di Asia Tenggara dan pada waktu yang sama menjadikannya alternatif kepada pusat pengeluar cip dunia semasa iaitu Taiwan.

NVIDIA sudahpun mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa syarikat Vietnam. Vinfast misalnya bersetuju menggunakan sistem swapandu NVIDIA DRIVE Orin pada kenderaan elektrik mereka.

Dengan cip dihasilkan sendiri di Vietnam, ia akan melancarkan rantaian bekalan penghasilan kenderaan.

Pandemik COVID-19 ialah tamparan kepada pengeluar yang hanya menghasilkan komponen yang diperlukan di China sahaja.

Penutupan kilang di China kerana polisi sifar-COVID menyebabkan pengeluaran terjejas teruk di peringkat global yang masih belum pulih sepenuhnya selepas tiga tahun.

Bagi Malaysia, pemilihan Vietnam sebagai pusat pengeluaran cip NVIDIA pastinya mengecewakan kerana negara kita adalah antara kuasa besar pengeluaran cip global (di tangga ke lapan).

Hakikatnya Vietnam kini dilihat sebagai negara dengan sektor perkilangan yang lebih maju dan dinamik. -Amanz