Parlimen Bulgaria lulus peletakan jawatan Kabinet

Kerajaan Zhelyazkov akan terus berfungsi sehingga pilihan raya atau pelantikan Majlis Menteri yang baharu. - Gambar fail/AP
SOFIA: Parlimen Bulgaria pada Jumaat meluluskan peletakan jawatan kerajaan campuran yang diketuai Perdana Menteri Rosen Zhelyazkov di tengah-tengah protes besar-besaran terhadap dasar ekonomi majoriti pemerintah, lapor Xinhua.
Seramai 227 ahli parlimen yang mempunyai 240 kerusi menyokong peletakan jawatan yang dikemukakan oleh Zhelyazkov pada Khamis.
Kerajaan Zhelyazkov akan terus berfungsi sehingga pilihan raya atau pelantikan Majlis Menteri yang baharu.
Menurut Perlembagaan Bulgaria, Presiden negara itu Rumen Radev perlu mengadakan rundingan dengan kumpulan parlimen, dan melantik seorang calon perdana menteri yang dinamakan oleh kumpulan parlimen terbesar.
Sekiranya calon perdana menteri gagal membentuk kerajaan dalam tempoh tujuh hari, presiden hendaklah menyerahkan tugas itu kepada calon yang dinamakan oleh kumpulan parlimen kedua terbesar, dan jika percubaan itu gagal, Radev hendaklah menyerahkan tugas itu kepada calon yang dinamakan oleh satu daripada kumpulan parlimen kecil.
Jika parti-parti dalam parlimen gagal membentuk Kabinet baharu selepas tiga percubaan, Radev akan melantik kerajaan sementara.
Kerajaan itu mengambil alih pentadbiran pada 16 Jan selepas pilihan raya awal pada Oktober 2024, pilihan raya parlimen ketujuh di Bulgaria dalam tempoh tiga setengah tahun. Zhelyazkov telah dicalonkan oleh GERB-UDF, parti terbesar dalam parlimen dengan 66 kerusi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


