Skip to main content

Dunia

Pemimpin pembangkang Israel kritik tindakan Netanyahu di Syria

[2/2] Yair Golan, the leader of "The Democrats" a left-wing political alliance, is interviewed by Reuters in his office in Tel Aviv, Israel July 2, 2024. REUTERS/Eloisa Lopez Purchase Licensing Rights
Golan (foto) mendakwa keputusan melancarkan operasi ketenteraan berkenaan dibuat bagi memenuhi kepentingan politik pihak tertentu. -Gambar Reuters
Advertisement

BAITULMUQADDIS: Pemimpin pembangkang Israel, Yair Golan, mengkritik serangan udara terbaharu Israel di Syria dan memberi amaran bahawa tindakan itu boleh meningkatkan risiko konfrontasi langsung dengan Turkiye.

Ketua Parti Demokrat itu berkata penggunaan kuasa ketenteraan perlu berasaskan kepentingan keselamatan negara dan bukannya pertimbangan politik.

Menerusi hantaran di platform X pada Khamis, Golan mendakwa keputusan melancarkan operasi ketenteraan berkenaan dibuat bagi memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Menurut Golan, tindakan ketenteraan itu juga boleh menjejaskan hubungan Israel dengan sekutu utamanya, termasuk Amerika Syarikat.

"Serangan di Syria merupakan tindakan provokatif dan berbahaya yang mendekatkan kita kepada konfrontasi dengan Turki serta mendalamkan lagi jurang perbezaan dengan sekutu kita, terutamanya Amerika Syarikat.

"Sekali lagi, kuasa tentera digunakan demi kepentingan politik, dan sekali lagi Israel terpaksa terima akibatnya dari segi keselamatan," tulisnya.

Beliau turut menyifatkan Perdana Menteri Netanyahu sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan mendakwa tindakannya berisiko menjejaskan kedudukan Israel di peringkat antarabangsa.

"Netanyahu membuktikan sekali lagi bahawa dia seorang tokoh pelampau yang tidak boleh dipercayai, seorang yang tidak boleh kita harapkan untuk membina strategi wilayah yang stabil," tulisnya di X.

 

 

Beliau berkata Israel memerlukan kepimpinan yang memberi keutamaan kepada keselamatan jangka panjang dan kestabilan serantau, bukannya mencetuskan konflik baharu demi kepentingan politik.

Kenyataan itu dibuat selepas Israel dilaporkan melancarkan beberapa serangan udara ke atas Lapangan Terbang Tentera Abu al-Duhur di Syria pada Selasa.

Serangan berkenaan berlaku ketika ketegangan antara Israel dan Turkiye meningkat susulan dakwaan mengenai kemungkinan kehadiran ketenteraan Ankara di Syria.

Setakat ini, pejabat Perdana Menteri Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai respons terhadap kritikan yang dilontarkan Golan.

Must Watch Video

Advertisement