SEORANG wanita bertindak berani apabila berjaya menghalang insiden rompakan di sebuah kedai serbaneka di Newham, London pada 20 Januari lalu.

Kejadian pada waktu tengah hari itu menyaksikan detik-detik mendebarkan selepas pelanggan wanita itu dilihat melawan suspek lelaki yang cuba merompak kedai berkenaan.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di laman Instagram TRTWorld, suspek yang memakai pelitup muka kelihatan meluru masuk ke dalam kedai, sebelum memberi isyarat agar juruwang memasukkan wang ke dalam beg.

Bagaimanapun, situasi bertukar genting apabila wanita yang memakai selendang merah kedengaran menjerit kepada perompak itu supaya keluar.

"Pergi.. pergi... keluar (dari kedai)," wanita itu kedengaran menengking perompak tersebut.

Keadaan semakin cemas apabila suspek dilihat mengeluarkan senjata dan mengacu untuk memukul juruwang, yang dipercayai seorang wanita.

Pelangan wanita itu berkali-kali menarik baju suspek, sebelum dia ditolak sehingga terjatuh ke lantai.

Dalam beberapa saat, suspek 'berputus asa' lalu keluar meninggalkan kedai serbaneka berkenaan.

Sementara itu, memetik The Sun Online, polis mengesahkan kejadian tersebut.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan dan pihak polis masih giat mengesan suspek lelaki itu.