PHNOM PENH: Kemboja berdepan tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem perkhidmatan kesihatannya berikutan perubahan iklim yang mula menjejaskan negara itu, sekali gus merosakkan infrastruktur perubatan penting serta mengganggu akses kepada perkhidmatan asas bagi komuniti luar bandar yang rentan, kata Menteri Kesihatan Prof Chheang Ra hari ini.
Ketika kejadian cuaca melampau semakin buruk, kemudahan perkhidmatan kesihatan kini berdepan tekanan yang kian bertambah, manakala penduduk di kawasan pedalaman menghadapi pelbagai halangan untuk mendapatkan rawatan perubatan tepat pada masanya.
“Perubahan alam sekitar sedang menakrifkan semula keperluan bagi sistem kesihatan yang berdaya tahan. Cuaca panas melampau, banjir, kemarau, perubahan corak penyakit bawaan vektor, ketakjaminan makanan, pencemaran udara serta perpindahan penduduk boleh memberi impak signifikan terhadap kesihatan awam,” kata Chheang Ra dalam ucapan alu-aluannya pada Forum Ahli Parlimen Asia-Pasifik Mengenai Kesihatan Global kesembilan.
Dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kemboja menjadi tuan rumah bagi forum itu yang berlangsung di Istana Perhimpunan Kebangsaan di Phnom Penh bermula dari 11 hingga 13 Ogos.
Bertemakan “Liputan Kesihatan Sejagat dalam Era Perubahan Iklim dan Kecerdasan Buatan”, forum berkenaan menghimpunkan ahli-ahli parlimen dan pihak berkepentingan sektor kesihatan bagi membincangkan cabaran yang dihadapi sistem kesihatan di rantau ini.
Terletak di Lembangan Bawah Mekong, Kemboja amat terdedah kepada bahaya bencana alam termasuk banjir, ribut tropika dan kemarau berpanjangan.
Kira-kira 80 peratus daripada populasi Kemboja menetap di kawasan luar bandar, dengan sektor pertanian kekal menjadi sumber mata pencarian utama.
Meskipun mencapai kemajuan ketara dalam mengurangkan kadar kemiskinan, sistem perkhidmatan kesihatan Kemboja terus berdepan cabaran besar.
“Wujud kekurangan tenaga kerja kesihatan berbanding nisbah yang disyorkan WHO, infrastruktur yang tidak mencukupi, sektor kesihatan swasta yang besar dan berpecah-pecah hingga menimbulkan kebimbangan mengenai kualiti dan keselamatan, serta jurang geografi dalam pengagihan perkhidmatan kesihatan.
Hingga 70 peratus pakar (perubatan) tertumpu di Phnom Penh,” kata Chheang Ra.
Perubahan iklim dan impaknya yang kian meningkat turut mencetuskan kebimbangan di seluruh rantau Mekong, tempat berjuta-juta penduduk luar bandar bergantung kepada sungai berkenaan serta ekosistemnya untuk mata pencarian.
Dari Kemboja dan Laos hingga ke Myanmar dan Vietnam, pelbagai komuniti terdedah kepada kombinasi cuaca tidak menentu seperti suhu bertambah meningkat, ribut tropika, tanah runtuh, hujan lebat dan kemarau berpanjangan.
Corak cuaca tidak menentu ini mengancam mata pencarian serta keterjaminan makanan, di samping menambah tekanan terhadap sistem kesihatan awam dan perkhidmatan asas.
Chheang Ra menyeru agar kesaksamaan, kualiti dan kepercayaan terhadap sistem perkhidmatan kesihatan ditingkatkan bagi memajukan liputan kesihatan sejagat, sekali gus memastikan orang ramai mendapat akses kepada rawatan perubatan berkualiti.
“Sistem perkhidmatan kesihatan yang berdaya tahan mesti melindungi komuniti semasa (krisis), sementara hospital dan pusat kesihatan terus beroperasi serta petugas kesihatan sentiasa bersedia untuk berkhidmat,” katanya.
-- BERNAMA