DAMSYIK: Syria mengutuk keras siri serangan udara yang didakwa dilakukan Israel ke atas Lapangan Terbang Tentera Abu al-Duhur di wilayah Idlib awal pagi Selasa.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar dan Emigran Syria menyifatkan serangan itu sebagai pencerobohan yang melanggar kedaulatan serta keutuhan wilayah negara berkenaan.
Media rasmi Syria melaporkan pangkalan tentera tersebut menjadi sasaran lapan serangan udara yang mengakibatkan kerosakan pada landasan utama kemudahan berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Statement Issued by the Ministry of Foreign Affairs and Expatriates of the Syrian Arab Republic pic.twitter.com/K8r58jWEAu
— وزارة الخارجية والمغتربين السورية (@syrianmofaex) August 18, 2026
Kementerian itu berkata peningkatan serangan udara sejak Disember 2024 menunjukkan apa yang disifatkannya sebagai usaha untuk meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan diteruskan walaupun Syria mengambil pendekatan menahan diri bagi mengekalkan kestabilan wilayah.
Damsyik turut menegaskan bahawa Syria akan terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingan nasionalnya menerusi saluran undang-undang serta norma antarabangsa.
Setakat ini, tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengesahan berhubung dakwaan serangan udara tersebut.