INTERNATIONAL
Tahanan Palestin maut dalam penjara Israel akibat pengabaian perubatan

Tahanan pentadbiran Palestin Mohyee al-Din Fahmi Najem, 60, dari Jenin, meninggal dunia di Pusat Perubatan Soroka, Israel selepas berbulan-bulan mengalami pengabaian rawatan perubatan dalam penjara Israel. - Foto hiasan
RAMALLAH: Tahanan pentadbiran Palestin Mohyee al-Din Fahmi Najem, 60, dari Jenin, meninggal dunia di Pusat Perubatan Soroka, Israel selepas berbulan-bulan mengalami pengabaian rawatan perubatan dalam penjara Israel, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin serta Persatuan Tahanan Palestin.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa Najem, bapa kepada enam anak dan bekas tahanan jangka panjang yang pernah dipenjarakan hampir 19 tahun di penjara Israel, kali terakhir ditahan pada 8 Ogos 2023 di bawah tahanan pentadbiran tanpa pertuduhan atau perbicaraan. Beliau menghidap pelbagai penyakit kronik tetapi tidak diberikan rawatan perubatan sewajarnya sepanjang tempoh tahanan.
Suruhanjaya dan Persatuan Tahanan itu mengesahkan pihak berkuasa penjara Israel melakukan "jenayah berganda" melalui penahanan sewenang-wenangnya yang berpanjangan serta pengabaian perubatan secara sistematik. Mereka memaklumkan keadaan kesihatan Najem merosot dengan ketara sejak beberapa bulan lalu, dengan lawatan penjara pada Mac menunjukkan beliau tidak lagi mampu berjalan tanpa bantuan. Meskipun menjalani beberapa pemeriksaan perubatan selepas itu, beliau tidak dimaklumkan tentang diagnosis kesihatannya.
Najem sebelum ini ditahan di Penjara Naqab, yang menurut kumpulan hak asasi, menjadi lokasi penderaan serius terhadap tahanan, khususnya ketika penularan kudis buta dan penyakit lain. Penjara itu turut terkenal dengan keadaan kebersihan yang diabaikan dan kemudahan perubatan yang daif.Kematian Najem menjadikan jumlah tahanan yang meninggal dunia sejak bermulanya serangan dan sekatan semasa meningkat kepada 66 orang, termasuk sekurang-kurangnya 40 dari Gaza, manakala puluhan lagi masih hilang akibat kehilangan disengajakan (paksa).
Sejak 1967, seramai 303 tahanan Palestin diketahui meninggal dunia dalam tahanan Israel, dengan 75 mayat masih di bawah tahanan Israel.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami