BANGKOK: Seorang lelaki menembak mati dua isterinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam satu kejadian mendebarkan di sebuah kondominium di pusat bandar Muang, Thailand.

Sumet Krongwong, 25, dan dua isterinya, Anada Piyarakatan, 18, dan Wichuda Siamsak, 22, ditemui mati dengan luka tembakan di kepala di bilik tidur kondominium mereka.

Ketiga-tiga mereka didakwa menipu 20 individu berkaitan jual beli nombor plat kenderaan bernilai jutaan baht.

Mereka dituduh membuka laman web yang mengiklankan nombor plat kenderaan yang menarik untuk dijual.

Ramai pelanggan dilaporkan telah memindahkan wang kepada mereka tetapi tidak menerima nombor plat yang dijanjikan.

Pada kejadian petang Khamis itu, polis yang tiba di kediaman mereka dengan waran tangkap meminta ketiga-tiga mereka menyerah diri.

Waran tangkap ke atas mereka dikeluarkan Mahkamah Jenayah Phra Khanong di Bangkok.

Sumet sebaliknya enggan menyerah, malah mengugut membunuh diri dan seluruh keluarganya termasuk anak perempuan berusia tiga tahun.

Pada keesokan malam, empat tembakan dilepaskan dari dalam rumah yang dipercayai bertujuan sebagai amaran agar pihak berkuasa menjauhkan diri.

Polis membuat keputusan untuk tidak masuk ke dalam rumah kerana bimbang Sumet akan bertindak mencederakan diri atau isteri-isterinya.

Sekitar jam 2 pagi pada Jumaat, polis melancarkan dron untuk memeriksa keadaan suspek menggunakan imbasan suhu jarak jauh, sebelum bertindak menyerbu masuk, dan mendapati ketiga-tiga suspek sudah tidak bernyawa.

Sumet meninggalkan sekeping nota yang memberitahu dia telah menggunakan pistol 9mm untuk menembak kedua-dua isteri dan dirinya sendiri.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.